Quantcast
Channel: Maharum Bugis Syah (MBS)
Viewing all articles
Browse latest Browse all 965

Pertabalan Dato' Kelana Petra, Mohd Kassim bin Dato' Mandika Hj Abdul Rahman Sebagai Undang Luak Sungai Ujong

$
0
0
Pada hari ini 25.01.1951, Dato' Kelana Petra ke-9, Yang Teramat Mulia  Mohd Kassim bin Dato' Mandika Hj. Abdul Rahman telah ditabalkan sebagai Undang Luak Sungai Ujong menggantikan Allahyarham Dato' Kelana Dato' Ma'amor bin Kassim. Istiadat pertabalan diadakan di Balai Undang, Ampangan, Negeri Sembilan. Pengistiharaan Dato' Kelana Petra  sebagai Undang dibuat oleh oleh Dato' Shahbandar pada 27 Mac 1946 selepas kemangkatan Allahyarham Dato' Kelana Dato' Ma'amor Kassim. Istiadat pertabalan Undang dimulai dengan tembakan sembilan das meriam. Seterusnya istiadat bersiram telah dimulakan oleh Dato' Batin dari Ulu Beranang dan Jenang diikuti pula oleh Dato' Mandika, Dato' Seri Maharaja Diraja dan lain-lain ahli waris. Istiadat diteruskan apabila Dato' Syahbandar mengisytiharkan pekerjaan kerajaan dan meriwayatkan riwayat hidup Undang yang baru. Dato' Laksamana dan Dato' Panglima Besar kemudiannya mengisytiharkan istiadat mengadap yang didahului oleh Dato' Mandika dan 25 orang Dato'-Dato' yang lain, Kadi-kadi termasuk Naib-naib Kadi, Penghulu, Buapak-buapak, dan waris-waris yang lain. Istiadat ini adalah mengikut aturannya telah ditentukan dan bacaan doa telah menamatkan istiadat.

Yang Teramat Mulia dilahirkan pada 13.10.1904 di Kampung Panti, Seremban dan mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu Panti sebelum menyambung pengajian beliau ke Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) setelah tamat darjah 4 pada tahun 1916. Semasa di MCKK  Yang Teramat Mulia  bergiat aktif dalam bidang sukan terutamanya bola sepak dan tenis. Selepas tamat darjah 9, Yang Teramat Mulia memegang jawatan sebagai kerani di Pejabat Elektrik Seremban. Yang Teramat Mulia kemudiannya bertugas di Pejabat Tanah Seremban selama 8 tahun dan akhirnya menjawat jawatan kerani kewangan di Pejabat Besar Elektrik di Kuala Lumpur. Semasa bertugas di Seremban, Yang Teramat Mulia bergiat cergas dalam Persekutuan Persidangan Belia dan pernah menjadi Setiausaha dan Bendahari dalam persekutuan tersebut.

Yang Teramat Mulia mangkat pada 23.10.1983 dalam usia 79 tahun dan meninggalkan lima orang cahayamata.  Terdapat sedikit krisis selepas kemangkatan Yang Teramat Mulia untuk pengganti Undang Luak Sungai Ujong yang baru hingga sekarang. Setelah dua tahun Undang Luak Sungai Ujong tiada pengganti, pada 08.03.1986 Raja Abdul Rahim Raja Abdul Razak dari Rumpun Bayu diistiharkan oleh anak warisnya sebagai Dato' Kelana Petra ke-10.  Pada 02.07.1987 pula seorang warga adat dari Rumpun Dusun, Lenggeng diistiharkan oleh warisnya sebagai Dato' Petra ke-10 dan mengangap perlantikan Raja Abdul Rahim tidak sah.  Dewan Keadilan Negeri yang bertanggungjawab mengesahkan perlantikan semua Undang tidak mengeluarkan sebarang persetujuan berhubung kedua-dua perlantikan individu berkenaan sebagai Undang Luak Sungai Ujong yang baru. Dewan ini dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan serta dianggotai oleh kesemua Undang yang empat bersama Tunku Besar Tampin dan Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai ex-officio.  Dewan ini tidak ada kuasa melantik Undang tetapi mempunyai kuasa merestui dan mengesahkan perlantikan Undang yang dibuat oleh Tua Waris Hulu, Tua Waris Hilir dan Waris Nan Tuo.

Yang Teramat Mulia Dato' Mubarak Dohak, Undang Luak Sungai Ujong.

Disebabkan tiada restu dan pengesahan daripada Dewan Keadilan Negeri berhubung perlantikan kedua-dua individu berkenaan sebagai Undang Luak Sungai Ujong kerana perlantikan mereka tidak mengikut adat yang sah, maka satu kata muafakat telah dibuat oleh tiga waris tua berkenaan berhubung isu ini.  Akhirnya ketiga-tiga Waris Tua Berkenaan telah memilih Yang Teramat Mulia Dato' Mubarak bin Tahak @ Dohak sebagai Dato' Kelana Petra ke-10 iaitu Undang Luak Sungai Ujong yang baru pada 29.12.1993.  Sepatutnya pengganti Undang yang baru harus dibuat selepas kemangkatan penyandangnya.  Sehingga hari ini masih ada lagi yang tidak berpuashati berhubung perlantikan Yang Teramat Mulia Dato' Haji Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong.

Sumber :- Arkib Negara / Royalark / Chegubard

Viewing all articles
Browse latest Browse all 965