14 Februari 2013, Khamis :-
Pepatah Melayu ada menyatakan "Buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali", maksudnya jika hendak membuat sesuatu pekerjaan yang baik janganlah berlebih-lebihan sehingga tak kena pada tempatnya dan perbuatan atau pekerjaan yang jahat haruslah dihindarkan sama sekali. Begitulah nasib yang menimpa seorang lelaki Cina yang telah dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM8,000.00 kerana kerana menunjukkan isyarat lucah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun dan Asisten Superintendan Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.
Leong Pei Koe seorang Jurukur Bahan berusia 29 tahun dari Jalan USJ 4/6E, Subang Jaya, Selangor mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Balik Pulau, Pulau Pinang semalam atas dua pertuduhan yang dikenakan kepada beliau. Pertuduhan yang dikenakan kepada beliau adalah :-
- Mendatangkan kegusaran orang lain dengan menunjukkan isyarat lucah di tempat awam dengan menggenggam tangan kanan dan jari tengah ditunjukkan ketika kenderaan rasmi KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun melalui balai perlepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang pada pukul 11:50 pagi Isnin 11 Februari 2013.
- Mendatangkan kegusaran Asisten Superintendan Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid apabila menunjukkan isyarat lucah di tempat awam dengan menggenggam tangan kiri dan tangan kanan menepuk tangan kiri dilokasi dan masa yang sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan ini, Pei Koe didakwa mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan yang membawa peruntukan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Pei Koe tidak diwakali oleh peguam manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim dan Charanjit Singh Mohinder Singh.
Bagi pertuduhan pertama, Majistret Muhammad Hidayat Wahab menjatuhkan hukuman penjara 30 hari dan denda RM6,000.00 atau penjara dua bulan jika Pei Koe gagal membayar denda berkenaan. Bagi tuduhan kedua pula, Pei Koe dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM2,000.00 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda itu.
Dalam keadaan sebak beliau merayu bagi diringankan hukuman dan mengaku salah di atas perbuatannya itu selain ikhlas ingin memohon maaf kepada Keluarga Diraja, Polis dan seluruh rakyat Malaysia. Pei Koe telah membayar denda berkenaan dan Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman dijalankan serentak dari tarikh tangkapan dibuat iaitu 11 Februari 2013. Pei Ko akhirnya dihukum penjara sebulan dan didenda RM8,000.00.
Majistret Muhamad Hidayat dalam kenyataannya memaklumkan bahawa :-
Hukuman ini sebagai pengajaran kepada Pei Koe dan pihak lain, kerana setiap rakyat Malaysia perlu patuh pada Rukun Negara kedua iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.
Hukuman ini merupakan satu mimpi ngeri sempena sambutan tahun baru cina bagi beliau tetapi nak buat macam mana nasi sudah jadi bubur. Apa-apapun satu perkara yang kita perlu ingat, jika sesorang itu membuat kesalahan kepada kita atau bangsa kita, kita perlu memaafkannya tetapi kita kena berhati-hati dengan orang seperti ini kerana ada kemungkinan dia akan mengulangi perbuatannya yang sama dimasa hadapan. Syah berharap Pei Koe belajar dari kesilapan yang telah dilakukan untuk jadi lebih baik lagi dimasa hadapan. Perkara ini juga harus dijadikan tauladan kepada seluruh masyarakat Malaysia supaya tidak melakukan perkara yang sama atau seumpamanya kerana jika anda lakukan juga, anda tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang. Menyesal dahulu pendapatan dan menyesal kemudian tidak berguna. Fikir-fikirkan lah sebelum anda cuba berniat menghina Raja-Raja Melayu.
Sumber :-Kosmo / Berita Harian