Quantcast
Channel: Maharum Bugis Syah (MBS)
Viewing all articles
Browse latest Browse all 965

Melawat Pameran Khas Istana Negara Lama

$
0
0

17 Februari 2013, Ahad :-

Apa kata hari nie anda bawa keluarga terutamanya anak-anak untuk melawat Istana Negara Lama di Jalan Istana, Kuala Lumpur untuk menyaksikan Pameran Khas Istana Negara.  Sekarang kita boleh menyaksikan sendiri susunatur bahagian dalam Istana Negara Lama seperti Bilik Duta, Bilik Permaisuri, Bilik Singahsana Kecil, Bilik-Bilik Peraduan (BilikTidur), Pejabat Yang di-Pertuan Agong, Pejabat Raja Permaisuri Agong, Bilik Santapan, Bilik Bacaan, Bilik Mandi Istana, Kelinik Gigi, Pangung Wayang Mini untuk Yang di-Pertuan Agong dan Kerabat Diraja dan  macam-macam lagi. Memang anda akan kagum dengan keindahan dekorasi Istana Negara Lama ini. Semalam Syah datang kesini untuk menyaksikan Pameran Khas ini dengan kadar bayaran RM5.00 seorang dan kanak-kanak lain harganya. Kadar bayaran boleh disemak dikaunter yang terletak dipintu masuk Istana Lama.

Pameran Raja Kita yang bermula 16 April 2012 lepas telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2013 dan diadakan di Balairong Seri Istana Negara Lama ini.  Masuk adalah percuma. Tiket hanya untuk masuk ke Istana sahaja. Walau bagaimanapun semasa Syah ke pameran ini semalam ada sesetengah bahan yang dipamirkan tidak ada ditempatnya mungkin sedang digunakan.  Kebanyakan bahan-bahan yang dipamirkan untuk Pameran Raja Kita sempena Pertabalan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 adalah replika.

Para pengunjung akan dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan pertunjukan silat mengikut jadual yang telah ditetapkan.  Ini adalah persembahan tarian dan nanyian kaum asli Pulau Carey, Selangor.  Takut tak ? ............ hehehhe

Berbalik kepada Istana Negara lama ini, Ianya merupakan tempat persemayaman (tempat tinggal) Ketua Negara Malaysia iaitu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Istana ini asalnya merupakan sebuah rumah kepunyaan seorang jutawaan berbangsa Cina yang dikenali sebagai Chan Wing yang dibina pada tahun 1928.  Istana ini pernah dijadikan Mes Pegawai Tentera Jepun ketika Jepun menakluki Tanah Melayu pada 1942 hingga 1945. Selepas Jepun menyerah kalah kepada Pihak Berikat dalam Perang Dunia Kedua, kediaman ini telah dibeli oleh kerajaan Negeri Selangor dan dijadikan istana untuk Sultan Selangor. Istana ini kemudiannya dibeli pula oleh Pihak Persekutuan pada tahun 1957 untuk dijadikan Istana Negara. 

Beberapa pengubahsuaian dan baikpulih telah dibuat terhadap Istana ini dari masa ke semasa dan pada tahun 1980 telah diadakan pengubahsuaian secara besar-besaran untuk membina Balairong Seri. Semenjak tahun 1957, Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan di Dewan Tuanku Abdul Rahman yang terletak di Ampang. Dengan adanya Balairong Seri yang baru ini, bermula tahun 1980 Istiadat pertabalan diadakan Balairong Seri ini. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-VII, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama ditabalkan di Istana Negara Lama ini. Yang di-Pertuan Agong terakhir yang ditabalkan disini adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-13, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Balairong Seri Istana Negara baru yang terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 11 April 2012 lepas. 

Untuk masuk kedalam Istana anda perlu menunjukkan tiket yang dibeli di kaunter tadi kepada petugas dipintu masuk Istana.  Anda tidak dibenarkan memakai kasut dan akan dibekalkan dengan sebuah beg plastik untuk mengisi kasut anda dan anda perlu membawa masuk beg pastik berkenaan dan tidak boleh meninggalkannya di pintu masuk Istana. Anda tidak dibenarkan membawa sebarang makanan atau minuman masuk kedalam Istana sewaktu lawatan dan anda tidak tidak dibenarkan mengambil gambar. Jika anda bernasib baik pandai-pandailah ambil gambar secara sembunyi-sembunyi sebagai kenang-kenangan seperi gambar diatas tu. Disetiap kawasan ada petugas Muzium untuk mengawasi para pengunjung, jika anda melakukan sesuatu yang dilarang jangan terasa hati pula bila kena tegur kerana mereka menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka. Akhir sekali sebelum keluar ada disediakan buku pelawat untuk diisi oleh para pengunjung. Beg plastik tadi boleh dimasukkan kedalam bakul sampah yang disediakan dipintu keluar Istana.

Dalam Istana ini tidak disediakan tandas dan anda perlu ke Balairong Seri dimana Pameran Raja Kita berlangsung, tandas disediakan ditingkat bawah Balairong Seri ini. Untuk masuk ke Pameran Raja Kita adalah percuma dan tidak dibenarkan memakai kasut. Rak kasut disediakan  ditepi pintu masuk tetapi jika anda tidak membuang beg plastik yang diberikan tadi anda boleh gunakan semula jika takut kasut kena kebas oleh orang lain, tetapi rasanya selamat letak kasut kat situ sebab tak nampakpun pelawat yang bawa kasut masuk sebab mereka sudah buang beg plastik kedalam tong sampah yang disediakan dipintu keluar Istana. Jika anda tidak yakin untuk meninggalkan kasut di rak berkenaan, jangan buang beg plastik yang diberi kepada anda tadi semasa keluar dari Istana berkenaan. Anda dibenarkan mengambil gambar di Pameran Raja Kita dan bahagian luar Istana Negara Lama.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 965