19 Ogos 2013, Isnin :-
Pada Sabtu lepas bersamaan 17 Ogos 2013, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Pengiran Pemancha Pengiran Anak Mohammad Alam telah berkenaan menghadiri Majlis Khatam Al-Qur'an 67 kali oleh Ahli-Ahli Majlis Perundangan Mukim dan Kampung seluruh Negara Brunei. Malis berlangsung di Dewan Persantapan, Istana Nurul Iman. Majlis Khatam Al-Qur'an 67 kali ini diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Brunei yang ke 67 tahun disamping mendukung wawasan baginda untuk menjadikan Negara Brunei sebagai sebuah Negara Zikir dan rakyatnya celik Al-Qur'an.
Dalam program ini, rakyat yang mewakili kesemua daerah di Negara Brunei mengkhatam Al-Qur'an sebanyak 67 kali khatam dan kemudiannya berdoa agar Allah melanjutkan usia Tuanku Sultan Brunei, diberikan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan dikuatkan iman serta kekal memerintah dan memimpin negara Brunei Darussalam.
Majlis dimulai dengan bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai diikuti dengan bacaan takhtim atau tahlil manakala bacaan doa khatam dipimpin oleh Imam Haji Abdul Aziz bin Badol dari Daerah Tutong. Kemudiannya diadakan Dikir Marhaban oleh 67 orang pegawai masjid dan imam dari Jabatan Hal Ehwal Masjid dan 67 orang pegawai dan guru perempuan dari Jabatan Pengajian Islam. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.
Keberangkatan tiba baginda berdua ke Dewan Persantapan disambut oleh Pemangku Menteri Ehwal Dalam Negeri, Pehin Datu Lailaraja Mejar General (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yusoff, Penasihat Bersama, Pengerusi Bersama dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Khatam Al-Qur'an 67 kali khatam. Turut serta dalam majlis ini adalah adalah putera dan puteri baginda.
Sumber :-Pelitabrunei / Jabatan Penerangaan Brunei