Paduka Seri Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah
26 September 2013, Khamis -
Tahukah anda pada 26 September 1913, Sultan Perak ke-28 Almarhum Paduka Seri Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah I telah berkenan mencemar duli meletakkan batu asas pembinaan Masjid Ubudiah di Bukit Chandan, Bandar Diraja Kuala Kangsar. Masjid ini juga kadangkala disebut sebagai Masjid Diraja Ubudiah. Masjid ini dibina atas nazar baginda yang pulih dari kegeringan. Semasa mendapat rawatan di Port Dickson, Negeri Sembilan, baginda telah bernazar jika kesihatan baginda pulih, baginda akan membina sebuah masjid di Bukit Chandan. Setelah keadaan baginda sihat dan baginda kembali semula ke Kuala Kangsar, baginda telah menitahkan Kolonel Huxley dari Jabatan Kerja Raya Kuala Lumpur untuk mereka bentuk sebuah masjid sepertimana yang diinginkan oleh baginda.
Paduka Seri Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah meletakkan Batu Asas Pembinaan Masjid Ubudiah.
Pada mulanya pembinaan masjid ini berjalan lancar tetapi telah tergendala buat beberapa ketika kerana batu mamar yang ditempah dari Itali untuk pembinaan masjid ini telah rosak teruk dipijak gajah. Insiden ini berlaku apabila gajah kepunyaan baginda bernama Kulub Chandan dan gembalanya Kulup Said bertempur dengan gajah kepunyaan Raja Sir Chulan Ibni Sultan Abdullah bernama Kulub Gangga dan gembalanya Uda Debok. Pertempuran ini berlanjutan hinga beberapa jam menyebabkan batu-batu mamar berkenaan pecah dipijak gajah tersebut. Orang ramai cuba menenangkan gajah berkenaan tetapi tidak berhasil sehinggalah Raja Sir Chulan datang ketempat kejadian dan menyeru nama gajahnya baru pertelengkahan antara dua gajah tersebut dapat dileraikan.
Paduka Seri Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah bersama Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Sir Arthur Young di upacara Meletakkan Batu Asas Masjid Ubudiah.
Batu-batu mamar yang pecah harus ditempah semula dari Itali. Walau bagaimanapun stock batu mamar berkenaan lambat tiba kerana berlakunya Perang Dunia Pertama di Eropah ketika itu. Batu-batu mamar berkenaan terpaksa dibawa melalui Afrika Selatan. Kos pembinaan Masjid Ubudiah diangarkan kira-kira $22,000.00. Masjid ini siap sepenuhnya pada 1917 dan baginda tidak sempat merasmikannya kerana telah mangkat pada 14 Januari 1916. Masjid Ubudiah dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Perak ke-29, Almarhum Paduka Seri Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917.
Sumber :- Raja Nur Janah / Wikipedia