04 Disember 2013, Rabu :-
Syah Ziarah ke makam Al-Marhum Sultan Sharif Ali pada 20 November 2013. Ini adalah makam pertama yang Syah ziarahi semasa lawatan Syah di Brunei Darussalam bermula 18 November hingga 25 November 2013. Niat asalnya Syah hendak ziarah ke Makam Sultan Bolkiah dan apabila bas turun di Muzium Brunei di Kota Batu dan Syah bertanya kepada seorang wanita arah kemakam Sultan Bolkiah dan dia beliau menunjukkan tangannya arah kedepan dan Syah pun pergi ketempat berkenaan. Rupa-rupanya itu adalah makam Al-Marhum Sultan Sharif Ali, Sultan Brunei ke-3 dan bukannya Al-Marhum Sultan Bolkiah, Sultan Brunei ke-5. Itulah salah Syah juga............ sepatutnya dahulukan yang tua baru yang muda dan akhirnya keadaan menentukan iannya terjadi begitu dimana akhirnya Syah Ziarah dahulu ke Makam Al-Marhum Sultan Shariff Ali.
Al-Marhum Sultan Sharif Ali merupakan menantu kepada Sultan Ahmad, Sultan Brunei ke-2. Menurut kajian, Al-Marhum adalah dari keturunan Nabi Muhammad S.A.W. Al-Marhum dikatakan berasal dari Taif dan berbangsa Arab. Al-Marhum datang ke Brunei untuk menyebarkan agama Islam. Diatas sumbangan dan jasa yang diberikan oleh Al-Marhum terhadap penyebaran Islam di Brunei, Sultan Ahmad telah berkenan menjodohkan puteri baginda, Puteri Ratna Kesuma dengan Al-Marhum. Apabila Sultan Ahmad mangkat pada 1425 dan tidak meninggalkan sebarang Putera Gahara, maka para pembesar dan rakyat telah sepakat memilih Al-Marhum sebagai Sultan Brunei ke-3.
Dalam Batu Tarsilah di Kubah Makam Diraja yang ditulis oleh Khatib Haji Abdul Latif pada 1807 ada diceritakan mengenai Al-Marhum Sultan Sharif Ali seperti berikut :-
Maka adalah yang pertama Kerajaan di Negeri Brunei dan membawa agama Islam dan mengikut Syariat Nabi kita Muhammad Sallallahu 'Alaihi wa Sallam iaitu Paduka Seri Sultan Muhammad dan Saudaranya Sultan Ahmad. Maka beranak seorang perempuan dengan isterinya saudara Raja Cina yang diambil dari Kinabatangan. Maka puteri itu yang diambil oleh Sharif Ali yang turun dari negeri Taif. Maka Sharif Ali itulah Kerajaan dinamakan dia Paduka Seri Sultan Berkat ialah yang mengeraskan syariat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam dan berbuat masjid dan segala rakyat Cina berbuat kota baru. Tuan Sharif Ali itu pancir salasilah daripada Amirul Mu'minin Hasan cucu Rasulullah.
Al-Marhum memerintah Brunei lebih kurang tujuh tahun mulai tahun 1425 hingga 1432. Baginda merupakan seorang ulama yang telah berjaya menyebarkan ugama Islam di Brunei dan merupakan pengasas pemerintahan Islam di Brunei. Al-Marhum juga dikenali dengan panggilan Sultan Berkat.
Diantraa sumbangan Al-Marhum adalah :-
- Sultan pertama yang mendirikan masjid di Brunei.
- Mencipta panji-panji kerajaan yang bersayap tiga mungkin melambangkan ajaran islam yang mengandungi Islam, Iman dan Ihsan.
- Mencipta alat kebesaran diraja bernama "Tunggul Alam Bernaga" yang mungkin melambangkan kebesaran Raja tempat rakyat bernaung.
- Al-Marhum mewariskan "Pedang Kerajaan Si Bongkok" sebagai salah satu alat kebesaran diraja. Pedang ini dibawa oleh Al-Marhum dari Taif.
Al-Marhum merupakan seorang yang sederhana dan tidak meninggi diri sehinggakan di batu nisan Al-Marhum hanya ditulis Ali sahaja dan tiada perkataan Sultan seperti berikut :-
Ya Allah
Dari Hijrah Nabi Sallallahu 'Alaihi wa Sallam Delapan Ratus Tiga Puluh Enam Tahun dalam bulan Jamadilawal malam khamis waktu Isya' di hari Ali berpindah dari dunia kepada akhirat, wassalam bil-khair.
Papantanda Makam Al-Marhum Sultan Sharif Ali ditepi jalan utama. Laluan bertile disebelah kiri Syah merupakan laluan menuju ke makam Al-Marhum Sultan Sharif Ali yang terletak dibawah bukit.
Didalam bangsal atau pondok dibelakang Syah ada diletakkan sedikit penerangan berhubung Al-Marhum Sultan Sharif Ali, Sultan Brunei ke-3.
Dari bangsal/pondok berkenaan kita terpaksa berjalan kehadapan lagi untuk sampai ke makam Al-Marhum Sultan Sharif Ali.
Pintu masuk ke Makam Al-Marhum Sultan Sharif Ali.
Syah dihadapan kubah yang menempatkan Makam Al-Marhum Sultan Ali
Makam Al-Marhum Sultan Sharif Ali
Bahagian hadapan batu nisan Al-Marhum Sultan Sharif Ali
Bahagian belakang batu nisan Al-Marhum Sultan Sharif Ali
Pandangan dari sisi tepi batu nisan Al-Marhum Sultan Ali
Pandangan dari atas batu nisan Al-Marhum Sultan Ali
Syah dihadapan makam Al-Marhum Sultan Sharif Ali. Semasa berada dikawasan ini batu nisan dan makam Al-Marhum berbau wangi. Mungkin ada yang meletakkan wangian.
Bila Syah pegang batu nisan Al-Marhum Sultan Sharif Ali, batunya terasa sejuk.