20 Januari 2015, Selasa :-
Pada 15 Januari 2015 yang lepas, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah telah berkenan berangkat ke Majlis Peletakan Batu Asas Sekolah Arab Rimba di Kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba. Keberngkatan tiba bakal pengantin diraja ini disambut oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman.
Pembinaan sekolah Arab ini melambangkan mercu tanda kegemilangan perkembangan sekolah Arab di Brunei Darussalam dimana sekolah ini akan melahirkan bakal ulama dan cendekiawan Islam yang berilmu bagi mencapai Wawasan Negara Brunei Darussalam 2035 serta mengukuhkan lagi gagasan negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir dan negara Melayu Islam Beraja (MIB).
Sekolah Arab ini merupakan antara projek besar Kerajaan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-10 kendalian Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU). Kos Pembinaan sekolah Arab ini dianggarkan berjumlah BND48,145,113.08 dan dijangka siap pada Jun 2016.
Sekolah yang dikhususkan bagi para pelajar lelaki ini dapat menampung seramai 2,000 pelajar serta dilengkapi dengan kemudahan bilik-bilik darjah dan guru, makmal sains, makmal komputer, makmal bahasa, mini studio, dewan utama, kafeteria, kemudahan bersukan, perpustakaan, asrama dan lain-lain kemudahan lagi.
Sumber :- Pelita Brunei