11 April 2015, Sabtu :-
Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj tidak berkenaan dengan slogan "Kita Lawan" yang akan digunakan oleh kontijen Selangor dalam temasya Sukan Malaysia 2016 atau SUKMA 2016 yang dijadualkan berlangsung di Sarawak tahun hadapan. Titah ini disampaikan oleh baginda sewaktu berangkat ke majlis Anugerah Sukan Selangor 2014 di Subang Jaya malam tadi yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, YAB Mohamed Azmin Ali.
Titah baginda lagi, slogan "Kita Lawan" telah digunapakai oleh sebuah parti politik. Baginda tidak mahu semangat kesukanan di Selangor dicemari dengan unsur politik atau perkauman dan mahukan semua pihak mengetepikan fahaman politik dan tidak menerapkannya kedalam pentadbiran sukan.
Diantara titah baginda malam tadi :-
- "Justeru, beta tidak mahu masyarakat umum tersalah tafsir atau menganggap bahawa kontinjen Selangor mencampur-adukkan atau cuba berpolitik di dalam sukan."
- "Beta berpendapat lebih baik kontinjen Selangor untuk SUKMA 2016 mencari slogan lain lebih bersemangat dan dapat berbangga mewakili Selangor, serta tidak mempunyai kontroversi yang boleh menjejaskan nama baik atlet, pasukan dan Selangor yang kita kasihi ini."
- "Beta sentiasa mengambil berat dan mengikuti perkembangan sukan di Selangor. Beta masih ingat pada era 60-an sehingga 80-an, sukan menjadikan Selangor sebuah negeri yang terkenal serta dihormati dan ini hasil usaha bersungguh-sungguh pemimpin serta atlet Selangor dan komitmen mereka yang sangat tinggi untuk mencapai kejayaan bagi negeri ini yang mereka wakili."
Baginda juga menegur kegagalan kontijen Selangor yang hanya menduduki tempat ke-4 dalam SUKMA lepas dan kegagalan Selangor menjuarai Piala Malaysia kebelakangan ini. Titah baginda lagi, kerajaan Selangor telah menyediakan pelbagai kemudahan sukan disetiap daerah dan sepatutnya Selangor menjadi juara pada setiap kejohanan. Diantara titah baginda berhubung perka ini :-
- "Mengapa perkara tersebut tidak berlaku (kejayaan), oleh itu pengurus pasukan, pegawai serta atlet perlu membuat 'post-mortem' bagi mencari punca kejatuhan ini."
- "Apa yang membimbangkan beta ialah akhir-akhir ini, beta dapati pentadbiran dan pengurusan beberapa kelab serta persatuan sukan di Selangor menghadapi masalah dalaman yang mengakibatkan kegagalan dan kemunduran sukan di negeri ini."
Tuanku Sultan juga menegur pengurusan kewangan sesetengah persatuan sukan yang menimbulkan masalah serius berikutan kurang perancangan jangka panjang dan tidak mempunyai peruntukan kewangan yang seimbang.
Titah baginda :-
- "Oleh itu, beta berharap pengurus dan pegawai sukan hendaklah memberi sepenuh komitmen dan bekerja bersungguh-sungguh sebagai sebuah pasukan bagi memastikan kegemilangan sukan di negeri ini dikekalkan".
- "Beta suka mengingatkan kepada pegawai persatuan supaya tidak bertelagah sesama sendiri atau menyimpan perasaan hasad dengki serta cuba menjatuhkan antara satu sama lain."
Sepertimana yang sebahagian dari kita sedia maklum slogan "Kita Lawan" ini sebenarnya slogan parti politik Parti Keadilan Rakyat atau PKR yang bertujuan membebaskan Penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara atas kesalahan liwat.
Sumber : Bernama