Tuanku Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dengan penuh semangat meneruskan kayuhan walaupun dalam keadaan hujan.
12 April 2015, Ahad :-
Malam tadi Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim telah berkenan mencemar duli menyertai Program Kayuhan Muhibbah Bersama Rakyat di Ipoh, Perak. Turut serta dalam program ini adalah Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan barisan Exco negeri.
Program anjuran Majlis Bandaran Ipoh dan Kerajaan Negeri dengan kerjasama PDRM, RELA dan Hospital Tuanku Permaisuri Bainun ini adalah yang julung kalinya diadakan di Ipoh sempena Sambutan Hari Bandaraya Ipoh ke-27 pada 27 Mei nanti. Program ini disertai hampir 1500 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli kelab basikal negeri Perak dan wakil daripada jabatan-jabatan Kerajaan.
Tuanku Sultan Nazrin dan para peserta lainnya berjaya menamatkan kayuhan sejauh 8km walaupun dalam keadaan hujan.
Sumber : Perak Today