04 Ogos 2015, Selasa :-
Tengahari tadi lebih kurang jam 12:00hrs, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan menyempurnakan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wilfred Madius Tangau. Istiadat yang berlangsung di Bilik Singahsana Kecil, Istana Negara ini turut menyaksikan Angkat Sumpah Jawatan Timbalan Menteri kepada Nogeh anak Gumbet.
Datuk Wilfred Madius Tangau dan Nogeh anak Gumbet juga menandatangani surat angkat sumpah dan surat simpan rahsia yang disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Turut serta dalam istiadat ini adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa menteri kabinet lain.
Sumber :- Bernama