18.08.2015, Selasa :-
Malam tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam telah berkenaan berangkat ke Majlis Persantapan untuk Pegawai-Pegawai Keselamatan dan Pegawai Beruniform serta Pertubuhan-Pertubuhan Awam Beruniform sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-69. Majlis diadakan di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Bagawan.
Majlis dimulai dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
KDYMM Tuanku Sultan juga telah berkenan beramah mesra dan menerima menerima mengadap para pegawai dan anggota pasukan beruniform terdiri daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), Unit Simpanan Gurkha, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Laut, Jabatan Imigresen & Pendaftaran Kebangsaan dan Jabatan Penjara.
KDYMM Tuanku Sultan juga kemudiannya beramah mesra dan menerima menerima mengadap ahli-ahli pertubuhan sukarelawan yang terdiri daripada Kadet ABDB, Kadet PDB, Kadet Bomba dan Penyelamat, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Persatuan Pandu Puteri Negara Brunei Darussalam, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN).
Turut berangkat dalam majlis ini adalah kerabat-kerabat diraja Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-Timbalan Menteri, Pengiran-Pengiran Peranakan, Pehin-Pehin Manteri, Manteri-Manteri Hulubalang dan Manteri-Manteri Pedalaman, para perwakilan asing ke negara ini, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Sumber :- Pelitabrunei