Quantcast
Channel: Maharum Bugis Syah (MBS)
Viewing all 965 articles
Browse latest View live

MCKK Dirasmikan Pada 02.01.1905

$
0
0

Diantara pelajar-pelajar pertama MCKK bergambar bersama Guru Besar Pertama MCKK Mr. William Hargreaves pada tahun 1906.  Mr. William Hargreaves dibantu oleh dua orang guru iaitu F.A Vanrennan dan C.W Rowlands..  Sebelum  bertugas di MCKK beliau merupakan guru besar Penang Free School.

  
02.01.2013, Rabu - Tahukan anda bahawa Kolej Melayu Kuala Kangsar atau Malay College Kuala Kangsar merupakan sebuah sekolah berasarama penuh yang pertama dinegara kita dan sistem pembelajarannya telah dijadikan model kepada asas dasar pendidikan negara hari ini. MCKK terletak Kuala Kangsar, Perak berhampiran Stesyen Keretapi Kuala Kangsar dan Bandar Diraja Bukit Chandan yang merupakan pusat pemerintahan Kesultanan Negeri Perak Darul Ridzuan. MCKK dirasmikan pada 02.01.1905 dan ketika itu dikenali sebagai Malay Residential School dan sekolah ini ditubuhkan sebagai sekolah percubaan.  Matlamat asal penubuhannya adalah untuk untuk memberi pelajaran dan melatih anak-anak kerabat diraja dan para pembesar Melayu untuk mengisi jawatan-jawatan penting dalam perkhidmatan kerajaan British di Tanah Melayu. Pada awal penubuhannya sekolah ini mempunyai seramai lapan orang pelajar dan kemudiannya bertambah kepada 63 orang menjelang Mac 1905 dan meningkat kepada 79 orang menjelang akhir tahun 1905.  Kelas dibahagikan kepada tiga dimana Kelas 1 untuk anak-anak raja, kelas 2 untuk anak-anak Pembesar dan Kelas 3 untuk anak-anak Pembesar Rendah. Pada 1909 sebuah bangunan tambahan sekolah ini telah dibina dengan peruntukan sebanyak $30,000.00 dan telah diberi nama baru iaitu Malay College Kuala Kangsar atau ringkasannya MCKK dan beroperasi sebagai English Public School.  

MCKK dibina diatas sebidang tanah seluas 16.2 hektar di Jalan Stesyen, Kuala Kangsar yang dikurniaan oleh Paduka Seri Sultan Perak ke-28, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I. Idea asal penubuhan sekolah ini telah mendapat sokongan daripada empat orang Sultan Tanah Melayu iaitu Sultan Perak,  Sultan Idris Murshidul Azam Shah I, Sultan Selangor, Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah, Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad Shah dan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Muadzzam Shah. Mereka-mereka ini merupakan penaung kepada MCKK. Jika dahulu MCKK dikhaskan untuk anak-anak kerabat diraja dan para pembesar Melayu sahaja  tetapi selapas kebangkitan nasionalisme Melayu pada tahun 1947, syarat kemasukan telah dilonggarkan dimana anak-anak Melayu yang berpotensi tanpa mengira darjat dan status berpeluang belajar di MCKK daripada tingkatan 1 hingga tingkatan lima.  Yang tidak berubah semenjak dari dahulu hingga kini adalah MCKK hanya menerima pelajar lelaki sahaja dan seindah namanya ia hanya untuk orang Melayu.

Sumber :- Arkib Negara / MCKK.edu.my

Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau Meninggal Dunia Pagi Tadi

$
0
0
03.01.2012, Khamis - Dukacita dimaklumkan Hari ini Pahlawan Negara Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau telah meninggal dunia akibat serangan sakit jantung jam 01:45hrs di Hospital Umum Sarawak dalam usia 68 tahun. Balu mendiang Datin Brawang Chunggat memaklumkan bahawa mereka sekeluarga amat terperanjat dengan pemergian mendiang secara mengegut yang mana sebelum ini tidak pernah sakit dan kelihatan sihat.  Mendiang menghembuskan nafas terakhir tidak lama selepas dimasukkan ke hospital berkenaan setelah pengsan dikediamannya kerana sesak nafas. Datuk Temenggong Kanang  bersara dari Angkatan Tentera Malaysia setelah berkhidmat selama 21 tahun pada tahun 1986 sebagai Pegawai Waran 1 daripada Batalion Ranger dan memulakan perkhidmatannya dalam Sarawak Ranger sebagai Iban Tracker (Pengesan Jejak Iban) pada 21 April 1962.  Mendiang dilahirkan pada tahun 1945 di Julau, Sarawak berketurunan Iban.  Pada 20 April 2010, Mendiang dilantik sebagai ikon kategori pahlawan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia yang diadakan di Kuching, Sarawak.

Mendiang merupakan satu-satunya anggota tentera yang menerima pingat Sri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) yang merupakan pingat keberanian tertinggi negara, ketika masih hidup. Mendiang dianugerahkan pingat ini oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong  VII, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah pada 03 Jun 1981. Setahun sebelum menerima SP, Mendiang dianugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) atas kehebatan dan keberanian Mendiang menembak mati lima pengganas komunis di Hutan Simpan Korbu, Sungai Siput, Perak. Pada 24 September 2011, Mendiang menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak 'Panglima Gemilang Bintang Kenyalang' yang membawa Gelaran Datuk sempena sambutan ulangtahun ke-90 Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Mendiang mendapat gelaran Pahlawan Negara kerana keberanian Mendiang dalam mempertahankan negara dari ancaman pengganas komunis semenjak tahun 1962 hingga 1986. Salah satu peristiwa penting perjuangan Mendiang adalah  peristiwa yang berlaku pada tahun 1980.  Pada tahun 1980 mendiang bersama 30 anggota Platun Gempur Batalion Kelapan, Rejimen Renjer Diraja (RRD) telah bertempur dengan komunis di Perak.  Dalam pertempuran ini Mendiang ditembak tiga kali berturut-turut oleh komunis.  Tembakan dari arah belakang Mendiang menyebabkan peluru itu mengenai jantungnya dan tembus kedada manakala dua tembakan dari hadapan mengenai saluran kencing dan merosakkan buah pinggangnya.  Mendiang yang dalam keadaan lemah dan berlumuran darah  tetap cekal memberanikan diri memapah seorang anggota bawahannya dari tembakan komunis. Walaupun kecederaan Mendiang teruk, dengan semangat pahlawannya mendiang dapat bertahan dan selamat walaupun terpaksa mendapatkan rawatan selama setahun akibat kecederaan berkenaan.

Takziah diucapkan kepada Datin Brawang Chunggat dan keluarga diatas pemergian Mendiang Pahlawan Negara Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau.  Semuga kalian tabah menghadapi dugaan ini. Negara kita telah  kehilangan sebutir permata yang berharga. Terkenang Syah mengenai "Battle Cry" yang digunakan oleh Mendiang dalam bahasa Iban iaitu "Agi idup agi ngelaban" yang membawa makna "Selagi saya hidup, saya akan berjuang".

Update :- 04.01.2012 :-  Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah bersetuju untuk memberikan Majlis Penghormatan Negara kepada Mendiang  sebelum majlis pengkebumian yang  akan diadakan pada pagi Ahad ini di Makam Pahlawan Sarawak. 

Sumber :- Syahril.wordpress/Kosmo/Wikipedia/Utusanonline

Tuah Ayam Nampak Dikaki Tuah Manusia Tak Siapa Yang Tahu

$
0
0
03.01.2012, Khamis - Tentunya kita pernah terdengar pepatah Melayu mengatakan Tuah Ayam Nampak Dikaki,  Tuah Manusia Tidak Siapa Yang Tahu. Pepatah ini membawa makna tidak ada orang yang dapat meneka untung malang nasib seseorang. Begitulah yang terjadi pada bayi comel ini yang dilahirkan pada pagi Isnin jam 02:40hrs, 21 April 1926 di No.17 Bruton Street,London. Kelahirannya disambut dengan 21 das tembakan meriam sebagai menandakan kelahiran cucu perempuan pertama kepada Raja England, King George V dan Queen Mary.  Ayahanda dan bondanya pada ketika itu hanyalah Duke and Duchess of York sahaja.  Bapa saudaranya Prince Edward merupakan pewaris pertama tahta Britain, manakala ayahandanya Duke of York merupakan pewaris tahta kedua manakala dengan kelahirannya, anak kecil ini menjadi pewaris tahta ketiga ketika itu.  Jika bapa saudaranya menjadi Raja dan mempunyai anak, anak berkenaan akan menjadi pewaris kedua dan ayahandanya (Duke of York) akan turun ketempat ketiga dan begitulah seterusnya dimana jika mengikut kelazimannya memang jauh peluang beliau untuk menjadi raja. 

Walau bagaimanapun disebabkan bapa saudaranya Prince Edward kemudian bergelar King Edward VII telah turun dari tahta pada 10.12.1936 kerana ingin mengahwini wanita pilihan hatinya yang tidak mendapat restu Parlimen Britain telah membuka peluang kepada ayahandanya Duke of York untuk menjadi Raja dan kemudiannya bergelar King George VI.  Disebabkan King George VI tidak mempunyai putera dan hanya dua puteri sahaja, ini telah membuka jalan kepada anak gadis ini untuk menjadi pewaris tahta pertama England.  Dengan kemangkatan Ayahandanya pada 06.02.1952 ketika beliau berada di Kenya atas urusan rasmi telah mengubah nasib anak perempuan ini yang apabila dia kembali semula ke England dia bukan lagi seorang puteri tetapi akan menjadi seorang Ratu (Queen). Beliau adalah Baginda Queen Elizabeth II yang kini masih lagi bertahta di England dalam usia 86 tahun.

Sumber :- The picture life of Queen Elizabeth II

Beli Buku Setan, Syaitan, SULTAN

$
0
0

04.01.2012, Jumaat -  Beberapa hari lepas Syah terlihat di FB ada jualan berkenaan buku nie dan Syah menghubungi alxsunilife@gmail.com seperti yang tertera dalam iklan tu dan membuat pertanyaan cara-cara untuk memperolehi buku ini.  Rupa-rupanya Pembelian secara online dan Syah perlu memasukkan duit sebanyak RM 60.00 kedalam akaun RHB Bank dan kemudiannya send back maklumat bayaran yang telah dibuat serta maklumkan alamat penghantaran ke e-mail berkenaan.  Untuk bukti pembayaran, Syah scan slip bank-in duit yang Syah buat tu dan kemudiannya mereka memaklumkan melalui sms bahawa bayaran telah diterima dan penghantaran akan dibuat dalam jangkamasa dua hari bekerja.  Syah buat payment hari Rabu dan pagi tadi Syah dapat buku ini.  Penghantaran melalui poslaju.  Jika hendak mendapatkan autograph penulis buku ini iaitu Pak Habib - Syed Hussein Al-Attas,  mereka kenakan caj RM20.00...Hemm kena caj rupanya ........ 

Sebagai seorang yang menyanjung tinggi dan menghormati institusi raja berpelembagaan di Malaysia Syah beli buku ini untuk melihat apa isi kandungannya dan juga sebagai salah satu koleksi untuk Maharum Bugis Syah Mini Royal Library. 

Gambar Princess Diana Yang Bertanda "Not To Be Published" Akan Dilelong

$
0
0
04.01.2013, Jumaat - Macam-macam kerenah manusia hendak mendapat keuntungan berlipat kali ganda terutamanya daripada "public figure" seperti keluarga diraja.  Sekeping gambar Mendiang Princess Diana yang bertanda "not to be published" (tidak boleh diterbitkan) akan dilelong akhir bulan ini.  Gambar ini diambil ketika Princess Diana masih lagi belum berkahwin dengan Prince of Wales, Prince Charles.  Pada asalnya gambar ini sebenarnya dimiliki oleh akhbar the Daily Mirror yang satu ketika dahulu pernah menjadi akhbar rasmi British dan sekarang gambar ini dimiliki oleh Syarikat Caren Archive iaitu   sebuah syarikat yang menyimpan koleksi asal manuskrip, keratan akhbar, gambar dan seumpamanya yang berpejabat di Amerika Syarikat.  Pada gambar berkenaan ditulis "not to be published" menggunakan pencil gris yang biasanya digunakan oleh pengedit photo.

Dalam gambar ini Mendiang Princess Diana kelihatan sedang baring diatas katil dan dibelakangnya ada seorang lelaki.  Kelihatan sebotol wiski dari jenama Johnnie Walker diletakkan ditepi tingkap bilik berkenaan.  Dibelakang gambar itu tertulis tarikh Feb.26.1981 (28 Februari 1981). Mengikut rekod, pada 23 Februari 1981 Princess Diana yang ketika itu berusia 19 tahun telah berpindah masuk ke Buckingham Palace dan pada keesokan harinya pihak Istana telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pertunangan Mendiang dengan Prince Charles.  Mendiang berkahwin dengan Prince Charles pada 29 Julai 1981 di St. Paul Cathedral, London. Eric Caren yang merupakan pemilik Caren Archive memaklumkan bahawa mereka tidak pasti siapakah lelaki dibelakang Mendiang dan membuat andaian bahawa iannya adalah abang Mendiang, Charles Spencer. Walau bagaimanapun tambah Eric lagi, jika lelaki itu adalah abang Mendiang mengapa diletakkan tanda berkenaan dan gambar ini nampak seperti pasangan intim.

Bob Livingston dari RR Auctions iaitu syarikat yang akan membuat lelongan gambar ini memaklumkan mungkin Daily Mirror tidak mahu mempamirkan photo ini kerana Mendiang ketika itu merupakan bakal Princess of Wales dan tidak elok dilihat gambar Mendiang berada dipangkuan lelaki lain.  Tambah Bob lagi, gambar ini boleh dijual dengan harga 1000 pound  tetapi disebabkan adanya tanda "not to be published" ianya mungkin akan dapat dilelong  dengan harga yang lebih tinggi lagi. 

Turut dilelong dalam lelongan ini nanti adalah keratan akhbar dan gambar Mendiang ketika menghadiri seminar konflik penyelesaian perkahwinan, gambar asli kumpulan Beatles sedang mengadakan persembahan pada tahun 1960an dan gambar Albert Einstein.  Jika berminat anda boleh menyertai lelongan ini di RR Auctions of Amherst di New Hampshire, USA bermula 17 hingga 24 Januari 2013.

Sumber :- ABC News / The Caren Archice

50 Tahun Kemangkatan Sultan Yussuf Izzuddin Shah

$
0
0
05.01.2012, Sabtu - Semalam genaplah 50 tahun Paduka Seri Sultan Yussuf Izzuddin Shah meninggalkan kita semua terutamanya kepada Negeri  dan Kerabat Diraja Perak Darul Ridzuan.  Almarhum merupakan Sultan Perak ke-32 dan Ayahanda kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.  Almarhum mangkat pada pada jam 16:12hrs, 04 Januari 1963 dalam usia 72 tahun akibat serangan stroke yang dialaminya  selama hampir 10 minggu.  Lebih menyedihkan lagi, Almarhum mangkat 11 hari sebelum sambutan hari keputeraan baginda yang ke-73 tahun. Setelah berada diatas tahta Perak Darul Ridzuan selama 15 tahun, pada 06 Januari 1963 Almarhum dimakamkan di Makam Diraja Al-Ghufran, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dengan penuh adat istiadat diraja Negeri Perak. Selepas kemangkatan baginda, Almarhum dikenali dengan gelaran Marhum Ghafarullah.   Almarhum mula diserang stroke  pada Oktober 1962 dimana kedua-dua kaki baginda tidak dapat digerakkan dan beberapa hari kemudiannya baginda menjalani pembedahan   dibahagian pundi kencing baginda.  Sehubungan dengan itu Almarhum menghadkan aktiviti rasmi baginda dan berjalan menggunakan tongkat. Kadangkala Almarhum bersiar-siar dengan kenderaan baginda pada sebelah petang di sekitar Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Almarhum meninggalkan empat orang putera dan seorang puteri iaitu :-
  1. Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan,  Almarhum Raja Ekram 
  2. Almarhum Raja Datuk Seri Baharom
  3. Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah
  4. Raja Pok Saidatuliz (Isteri kepada Tengku Seri Wangsa Selangor Tengku Ibrahim ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah.
Almarhum diputerakan pada 15 Januari 1891 di Kuala Kangsar, Perak dan merupakan putera sulung kepada Paduka Seri Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah, Sultan Perak ke-29 yang memerintah dari 1916 hingga 1918. Almarhum pernah berkahwin beberapa kali dan yang kekal hidup bersama Almarhum adalah isteri pertama Almarhum iaitu Raja Perempuan Ta'ayah binti Raja Abdul Hamid manakala isteri-isteri yang lain telah diceraikan termasuklan Yang Teramat Mulia Toh Puan Besar Hatijah binti Dato' Setia Wangsa Ahmad yang merupakan bonda kepada Sultan Perak sekarang, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. Selain daripada itu Almarhum juga pernah berkahwin dengan Tengku Permaisuri Sapura dan bintang filem Norizan.  Ada yang menyatakan Norizan minta diceraikan kerana ingin berkahwin dengan seniman negara Allahyarham P Ramlee - Wallahualam.

Almarhum dilantik sebagai Raja Di Hilir pada 29.01.1919 kemudiannya menjadi Raja Bendahara pada 1921 dan Raja Muda pada 15.10.1938.  Almarhum menaiki tahta sebagai  Sultan Perak pada 29.03.1948 menggantikan Almarhum Paduka Seri Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah.  Sepanjang pemerintahan Almarhum, Almarhum telah melawat England sebanyak  empat kali  sebagai tetamu khas  termasuklah menghadiri Istiadat  Pertabalan Queen Elizabeth II pada 02 Jun 1953 di Westminster  Abbey .

Al-Fatihah kepada Almarhum Paduka Seri Sultan Yussuf Izzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah.  Semuga Roh Almarhum ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin.

Sumber : Koleksi Peribadi MBS/ DYMM Sultan Azlan Shah Biografi Bergambar / Sembangkuala

Istana Alam Shah

$
0
0
05.01.2012, Sabtu - Istana Alam Shah merupakan Istana Rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan terletak di Bandar Diraja Klang, Selangor Darul Ehsan.  Istana Alam Shah mula dibina pada tahun 1958 dan siap sepenuhnya pada tahun 1960.  Istana ini sebenarnya dibina diatas tapak asal Istana Mahkota Puri.  Istana Mahkota Puri telah dibina pada tahun 1899 dan siap pada 1903 sempena Istiadat kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa, Sultan Selangor ke-5. Pada tahun 1957 Istana Mahkota Puri telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan istana yang baru iaitu Istana Alam Shah diatas tapak yang sama.  Semenjak daripada itu, Istana Alam Shah telah dibuat beberapa pengubahsuaian serta pembesaran dan kali terakhir adalah pada tahun 2001 sebelum Istiadat Pengmahkotaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Sultan Selangor yang baru pada tahun 2003. 

Sumber :- Youtube / Wikipedia

Perlantikan Sultan Abdul Samad Sebagai Sultan Selangor ke-3 Pada 06.01.1857

$
0
0
06.01.2012, Ahad - Tentu kita semua pernah mendengar atau mengetahui mengenai Bangunan Sultan Abdul Samad berhampiran Dataran Merdeka, Kuala Lumpur tu kan?.  Tahu tak anda siapakah individu berkenaan? Sultan Abdul Samad adalah Sultan Selangor Darul Ehsan ke-3.  Kebiasaannya di Selangor ketika itu, apabila seorang Sultan mangkat, putera sulung baginda yang gahara akan mengambil alih tahta pemerintahan tetapi ada sedikit kelainan berlaku di Selangor berhubung pengganti Sultan selepas kemangkatan Sultan Selangor ke-2 iaitu Almarhum Sultan Muhammad. Putera Gahara bermakna anak lelaki yang lahir dari zuriat seorang Sultan dan isteri baginda yang berketuruna Raja sahaja.  Sebenarnya Sultan Abdul Samad bukanlah anak kepada Almarhum Sultan Muhammad tetapi merupakan menantu dan juga anak saudara Almarhum serta cucunda Sultan Selangor pertama, Almarhum Sultan Ibrahim Shah.  Perlantikan Sultan Abdul Samad telah mendapat persetujuan daripada empat pembesar negeri Selangor atas nasihat Raja Jumaat.  Keputusan ini dibuat kerana Raja Muda Muhammad iaitu anak kepada Amarhum Sultan Selangor ke-2 masih terlalu muda untuk ditabalkan sebagai Sultan ketika itu. Maka pada 06 Januari 1857, Sultan Abdul samad ketika itu yang bergelar Tengku Panglima Raja Selangor telah dilantik sebagai Sultan Selangor ke-3.  Bermula dari saat itu, Keturunan Sultan Selangor hingga sekarang adalah daripada Sultan Abdul Samad dan bukannya Raja Muda Muhammad.

Zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad merupakan era penting dalam sejarah negeri Selangor dimana berlakunya perang saudara dalam merebut tahta negeri Selangor , campurtangan Inggeris di Selangor, bermulanya kemasukan orang Cina untuk membuka lombong bijih timah di Selangor dan Kuala Lumpur menjadi bandar perniagaan yang pesat membangun hingga kehari ini.  Sultan Abdul Samad memerintah Selangor selama 41 tahun dan mangkat pada 06 Februari 1898 dan dimakamkan di Makam Diraja Selangor di Jugra, Kuala Langat, Selangor.

Al-Fatihah ........... Semuga roh Almarhum Sultan Abdul Samad ibni Raja Abdullah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin.

Sumber :- Arkib Negara / Wikipedia

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah Hadiri Majlis Santapan Canselor MSU

$
0
0
07.01.2012, Isnin - Malam ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidon telah berkenaan menghadiri majlis santapan Canselor Universiti Pengurusan dan Sains atau MSU. Tuanku Hajah Haminah merupakan Canselor MSU.  Seramai 1,027 graduan dari 43 bidang pengajian telah menamatkan pengajian pada konvokesyen pada kali ini.  Majlis yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra ini turut dihadiri oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Anuar ibni Almarhum Sultan Badlishah dan isteri, Toh Puan Noor Suzanna Abdullah.

Keberangkatan tiba Seri paduka Baginda berdua telah disambut oleh Presiden MSU, Prof Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Pro Canselor MSU Tan Sri Dr Wan Abdullah.  Dalam majlis malam ini, Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah telah berkenaan memotong kek sempena majlis santapan ini.

Sumber :- Bernama

Raja Muda Perlis Menerima Mengadap Delegasi Selatan Thailand

$
0
0

07.01.2012, Isnin - Hari ini Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berkenaan menerima mengadap delegasi pentadbiran Daerah Sado, Thailand.  Majlis Mengadap diadakan di Galeri Diraja Istana Arau, Arau, Perlis. Deligasi daripada Selatan Thailand ini berada di Perlis untuk lawatan rasmi selama sehari bagi mengeratkan lagi hubungan baik diantara Perlis dan      Selatan Thailand.  Kelihatan Tuanku Syed Faizuddin dan para tetamu sedang mendengar penerangan daripada Kol (B) Jamaludin Zainal Abidin mengenai "Kerusi Kepala Gajah".  Kerusi Kepala Gajah ini merupakan kerusi yang digunakan di singgahsana Perlis Indera Kayangan oleh Raja Perlis yang pertama, Almarhum Yang Maha Mulia Raja Syed Hussain Jamalullail dan adalah dipercayai kerusi ini merupakan yang tertua masih disimpan dinegara kita.  Sistem beraja di Perlis diasaskan pada tahun 1842.

Sember :- Bernama/ Wikipedia

YAM Tengku Zaleha binti Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah Mangkat

$
0
0
08.01.2013, Selasa - Ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Yang Amat Mulia Tengku Zaleha binti Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang telah mangkat pada Sabtu lepas bersamaan 05 Januari 2013. Allahyarhamah yang berusia 80 tahun mangkat disisi keluarganya pada jam 06:55hrs di Hospital Sultanah Nur Zahirah akibat komplikasi kanser yang dialaminya semenjak 14 tahun lepas. Sebelum ini Allahyarhamah dirawat disebuah hospital di ibu negara  tetapi memaklumkan bahawa beliau hendak balik ke Terengganu dan permintaan ini telah dipenuhi dan Allahyarhamah dibawa balik ke Terengganu menggunakan kapal terbang TUDM.  

Dalam beberapa jam sahaja berada dirumah, Allahyarhamah telah dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah atas nasihat doktor semenjak hari Isnin 31 Disember 2012 lepas.   Walau bagaimanapun tahap kesihatan Allahyarhamah semakin merosot dan berlaku jangkitan pada paru-paru serta jantungnya semakin lemah dan banyak organ dalamannya yang rosak.  

Allahyarhamah meninggalkan seorang anak lelaki tunggal dan tujuh cucu serta seorang cicit.  Anak lelaki tunggal Allahyarhamah adalah  Dato' Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad atau lebih dikenal sebagai Raja Bahrin yang merupakan seorang arkitek terkenal yang mereka Masjid Terapung di Terengganu, pernah mengejutkan dunia kerana berjaya menghadapi risiko melarikan anaknya dari bekas isterinya di Australia dan merupakan  suami kepada penyanyi jazz Noryn Aziz (isteri kedua).  Allahyarhamah telah dimakamkan mengikut adat istiadat diraja Terengganu bagi kerabat-kerabat yang akrab dimana jenazah diletakkan dalam keranda diatas usungan yang dihiasi dengan kain bewarna kuning serta empat pasang payung obor bewarna kuning dan putih. Usungan ditarik oleh lapan orang anggota Askar Melayu Diraja.  

Istiadat permakaman dilaksanakan   selepas solat Zohor hari yang sama di Makam Diraja Terengganu di Masjid Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu. Allahyarhamah Tengku Zaleha merupakan puteri ketiga Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah dari isteri baginda Allahyarhamah Tengku Tengah Zaharah binti Tengku Setia Raja Tengku Omar (Pahang). Allahyarhamah merupakan bonda  saudara kepada Sultan Terengganu sekarang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.  Tuanku Mizan telah berkenan mengadakan Majlis Tahlil selama tujuh malam berturut-turut mulai 05 Januari lepas di Istana   Maziah, Kuala Terengganu.

Alfatihah .................. semuga roh Allahyarhamah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin.

Sumber :- Kumidi / Sinar

Buku Istana Negara - Lambang Kedaulatan dan Keagungan Raja Melayu

$
0
0
08.01.2013, Selasa - Inilah dia buku Istana Negara - Lambang Kedaulatan & Keagungan Raja Melayu yang akan dirasmikan esok 09 Januari 2013 di Shangri-La Hotel Kuala Lumpur oleh Raja Negeri Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.  Tuanku Syed Sirajuddin telah diberi penghormatan untuk merasmikan buku ini kerana buku ini lahir dari cetusan ilham Tuanku sendiri yang mahu Istana Negara yang baru  di Jalan Duta, Kuala Lumpur ini menjadi bahan rujukan  dan pemahaman tentang mercu tanda negara kepada generasi sekarang dan masa hadapan. Penerbitan buku  Istana Negara baru membawa imej dan simbol keagungan pemerintahan beraja di Malaysia.  Kompleks Istana Baru yang serba lengkap mengabungkan prinsip dan ciri-ciri senibina Islam, Melayu dan Kolonial.  Menonjolkan kekuatan pengaruhnya ke atas sejarah Kesultanan Melayu serta sejarah Negara Malaysia. Pengarah Penerbitan dan Pengarang buku ini adalah Datuk Md Nizam Md Sheriff yang juga merupakan Pengarah Projek bagi pembinaan Istana Negara, Jalan Duta.

Buku ini mengandungi 287 muka surat serta gambar yang bewarna warni dan didatangkan dalam folder berukuran 28.5cm x 28.5cm x 5cm dengan berat 1.8kg.  Harga bagi Semenanjung Malaysia adalah RM350.00 senaskah manakala bagi Sabah/Sarawak adalah RM380.00 termasuk kos penghantaran. Diantara kandungan buku ini adalah Titah DYMM Tuanku Raja Perlis, perutusan Y.A.B. Perdana Menteri, Susunletak Ruangan Istana, Seni Reka Bentuk & Ukiran, Sejarah Pembinaan dan upacara-upacara penting yang dijalankan di Istana ini. Selepas perasmiannya esok, buku ini tidak boleh lagi didapati di mana-mana kedai buku utama di Malaysia tetapi jika anda berminat anda boleh menghubungi penerbit buku ini iaitu Maya Maju (M) Sdn Bhd ditalian 03-62012121/3366 atau e-mail ke bukuistananegara@gmail.com untuk membelinya. Maya Maju terletak di No.17, Jalan Sri Hartamas 18, Taman Seri Hartamas, 50480 Kuala Lumpur.  Anda perlu mengisi borang khas dan bayaran adalah melalui wang pos, cek berpalang, kiriman wang atau local order/purchase order sahaja. Untuk keterangan lanjut sila call urusetia penerbitan buku berkenaan seperti maklumat diatas.  Syah telah menempahnya satu, anda bagaimana pula?

Sumber :- Maya Maju (M) Sdn Bhd

Titah Sultan Selangor Berhubung Isu Kalimah ALLAH

$
0
0
09.01.2012, Rabu - Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Alhaj telah membuat ketetapan bahawa kalimah ALLAH hanya boleh digunakan khusus untuk umat Islam sahaja di Negeri Selangor. Baginda juga menzahirkan kekesalan baginda terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang meminta kerajaan persekutuan membenarkan kalimah Allah digunakan dalam kitab bible versi bahasa Melayu baru-baru.  Ketetapan ini dibuat oleh baginda setelah mengadakan satu mesyuarat khas bersama Mufti Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada hari Ahad lepas bersamaan 06 Januari 2012.  Baginda menitahkan agar MAIS dan JAIS mengambil tindakan tegas kepada orang Islam atau bukan Islam yang masih mempersoalkan atau memperlekehkan fatwa yang telah diputuskan oleh negeri Selangor.  Mana-mana pihak adalah ditegah dan dilarang sama sekali menggunakan atau memperalatkan agama Islam sebagai modal politik kerana ianya akan membawa  kepada kemusnahan dan keamanan yang dikecapi sekarang ini.

Dua tahun lepas, Tuanku Sultan Selangor pernah mengeluarkan titah yang sama berhubung isu ini tetapi baginda berasa kecewa kerana titah itu telah dipandang ringan oleh sesetengah pihak sehingga ianya dibangkitkan semula oleh Lim Guan Eng baru-baru ini.  Lim Guan Eng dalam perutusannya sempena Hari Krismas pada 24 Disember lepas meminta Kerajaan Persekutuan membenarkan Kalimah Allah digunakan dalam kitab bible versi Melayu di Semenanjung memandangkan iannya dibenarkan di Sabah dan Sarawak semenjak 50 tahun yang lalu.   Walau bagaimanapun dalam seksyen 9 (1) Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 dan dikuatkuasakan pada Julai 1988 telah membuat ketetapan melarang kalimah Allah daripada digunakan oleh bukan Islam dalam segala perkara berkaitan agama mereka.

Mufti Selangor, Dato' Mohd Tamyes Abd Wahab  pula dalam kenyataannya  memaklumkan ketetapan yang dibuat dalam mesyuarat pada 06 Januari lepas adalah selari dengan keputusan fatwa negeri yang sudah diwartakan pada 18 Februari 2010 selepas merujuk undang-undang sediada di Selangor.  Menurut beliau lagi, perkara yang sama juga telah diputuskan dalam muzakarah jawatankuasa fatwa majlis kebangsaan yang bersidang pada 05 hingga 07 Mei 2008 iaitu Lafaz ALLAH adalah kalimah suci khusus bagi ajaran dan umat Islam dan tidak boleh diguna atau disamakan dengan agama lain.

Sumber :- Berita Harian 

Almarhum Sultan Ibrahim dan Almarhumah Sultanah Aminah Pernah Buat Jamuan Makan Nasi Minyak Sempena Ulangtahun Perkahwinan Baginda Berdua

$
0
0
10.01.2012, Khamis - Tahukah anda bahawa pada tahun 1970, Sultan Johor, Almarhum Sultan Sir Ismail ibni Almarhum Sultan Sir Ibrahim dan suri baginda, Almarhumah Sultanah Ungku Tun Aminah binti Ungku Ahmad atau lebih dikenali sebagai Sultanah Aminah pernah membuat jamuan makan Nasi Minyak kepada lebih 600 orang penghuni Rumah Orang-Orang Tua di Kampung Engku Mohsin di Tampoi sempena Ulangtahun Perkahwinan baginda berdua yang ke-50 tahun.  Baginda berkahwin pada 30 Ogos 1920.  Hasil daripada perkongsian hidup baginda berdua dikurniakan dengan empat orang putera dan tiga orang puteri iaitu:-
  1. Tunku Abdul Jalil (1924 - 1925)
  2. Tunku Kalthum Maimunah (1927-1930)
  3. Tunku Abdul Rahman (1930-1930)
  4. Tunku Mahmud @ Sultan Iskandar (1932 - 2010)
  5. Tunku Abdul Rahman (1933-1989)
  6. Tunku Helen (1936-1937)
  7. Tunku Tun Maimunah (1939-2012)
Daripada tujuh orang cahayamata Almarhum dan Almarhumah, hanya tiga orang sahaja yang sempat membesar hingga dewasa manakala lima lainnya mangkat ketika kanak-kanak atau ketika baru dilahirkan. 

Sumber :- Kesultanan Johor dan Wikipedia

Pemangku Raja Perak Hadiri Majlis Penyerahan Zakat

$
0
0

10.01.2012, Khamis - Hari ini Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah berkenan mencemar duli menghadiri majlis penyerahan zakat dan penganugerahan tauliah perlantikan Imam di Bukit Merah Laketown Resort.  Kelihatan Pemangku Raja Perak menyerahkan kutipan zakat kepada Dato' Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Sumber :- Bernama

Radin Irwan Dzul Karnain Isagani Dilepas dan Dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi

$
0
0
11.01.2012, Jumaat - Shukur Alhamdulillah hari ini Radin Irwan Dzul Karnain Isagani telah dilepas dan dibebaskan dari tuduhan mengedar ganja di Mahkamah Tinggi.  Radin atau lebih dikenali sebagai Zack New Boyz merupakan pemain bass kumpulan New Boyz telah dituduh tiga tahun lepas mengedar 1,321 gram ganja.  Datuk Akhtar Tahir dalam penghakimannya memutuskan Radin Irwan tidak bersalah selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.  Kelihatan Radin Irwan bersama isteri dan peguamnya keluar dari mahkamah setelah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi.

Sumber :- Bernama

Tuanku Muhriz Terima Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang

$
0
0
11.01.2012, Jumaat - Menjunjung Kasih Sembah Ucap Tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir kerana telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang oleh University of Glamorgan, Wales, United Kingdom pada hari ini. Ijazah kehormat ini dianugerahkan kepada tokoh-tokoh terkemuka dunia sahaja.  Ianya disembahkan kepada Tuanku Muhriz oleh Naib Canselor universiti berkenaan, Prof Julie Lydon sebagai menghargai pencapaian, kewarganegaraan dan hubungan yang terjalin diantara Tuanku Muhriz dan University of Glamorgan. Tuanku Muhriz yang juga merupakan Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, menerima Ijazah Kehormat ini dalam majlis yang diadakan di UKM, Bangi, Selangor  yang turut dihadiri oleh Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani bte Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Pada tahun 1967 Tuanku Muhriz mengikuti pengajian dalam jurusan undang-undang di University College Aberystwyth dan baginda terkenal sebagai seorang mahasiswa yang berkebolehan tinggi, matang dan popular di university berkenaan. Dalam masa yang sama, Prof John Andrews yang merupakan pengerusi University of Glamorgan merupakan seorang professor undang-undang di University College Aberystwyth semasa Tuanku menuntut disana.  Hubungan baik diantara Tuanku Muhriz dan Prof John bermula dari sini. Apabila kembali ke tanah air, baginda menyandang pelbagai jawatan dalam perkhidmatan kewangan antarabangsa dan pengiklanan serta terlibat secara aktif dalam kerja amal melalui Kelab Rotary Kuala Lumpur.

Sumber :- Bernama

Tuanku Ahmad Shah Terima Memorandum Menyokong Baginda Kekal Sebagai Presiden FAM

$
0
0
11.01.2012, Jumaat - Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah berasa terharu menerima memorandum menyokong baginda kekal sebagai Presiden FAM. Memorandum berkenaan disampaikan oleh Hafizan Hassan, Pengerusi Badan Bertindak Penyokong Sultan Pahang Terus Menerajui FAM kepada baginda semasa baginda berangkat tiba  di Pengkalan TUDM Kuantan. Turut serta adalah 103 orang yang mewakili penyokong dari seluruh negara   sambil melaungkan kata-kata sokongan kepada Tuanku Ahmad Shah. Turut bersama Tuanku Ahmad Shah adalah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsom.

Sumber :- Bernama

Sultan Musa Ghiathuddin Riayat Shah Sultan Selangor Era Jepun Yang Dinafikan Haknya Oleh Inggeris

$
0
0
12.01.2012, Sabtu - Hari nie Syah hendak bercerita secara ringkas mengenai salah seorang Sultan Selangor yang telah dinafikan haknya sebagai pewaris tahta yang sah oleh pihak penjajah Inggeris.  Baginda adalah Almarhum Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah. Baginda diputerakan  pada tahun 1893 di Jugra, Selangor dan merupakan putera sulong Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah bersama suri baginda, Tengku Ampuan Maharum binti Raja Muda Tunku Dziauddin (Kedah). Putera yang lahir ini dinamakan Tengku Musa Eddin dan sebagai seorang putera sulong yang gahara, baginda adalah pewaris tahta yang sah dan telah dilantik sebagai Raja Muda Selangor pada tahun 1916 ketika berusia 23 tahun. Walau bagaimanapun, peribadi Tengku Musa Eddin yang anti Inggeris tidak begitu disenangani oleh pihak penjajah.  Residen Inggeris di Selangor ketika itu, T.S. Adam telah mencadangkan agar Raja Muda Selangor ini disingkirkan tetapi tidak mendapat persetujuan Sultan Selangor pada mulanya tetapi baginda Sultan akhirnya terpaksa akur dengan kehendak Inggeris.  Pada tahun 1933 Tengku Musa Eddin telah disingkirkan sebagai Raja Muda Selangor atas alasan "salahlaku peribadi".  Sebagai penggantinya pihak Inggeris melantik Tengku Alam Shah (kumudiannya bergelar Sultan Hishamuddin Alam Shah) yang merupakan putera ketiga Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah sebagai Raja Muda Selangor yang baru dan pihak Inggeris telah melangkah putera kedua Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah iaitu Tengku Badar Shah yang merupakan datuk sebelah bonda Sultan Selangor sekarang, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah. Selepas disingkirkan sebagai Raja Muda Selangor, Tengku Musa Eddin diberikan gelaran Tengku Kelana Jaya Putera iaitu gelaran yang biasa digunakan oleh putera mahkota bagi Yang di-Pertuan Muda Johor dan Riau yang berketurunan Bugis. Walaupun telah disingkirkan, Tengku Musa Eddin tidak pernah menyimpan dendam kepada penggantinya yang merupakan adinda baginda sendiri malah semasa pertabalan Raja Muda Alam Shah sebagai Sultan Selangor, Tengku Musa Eddin merupakan pengerusi kepada istiadat pertabalan berkenaan.


Keajaiban berlaku seketika pada zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu bermula Disember 1941 dimana pihak Jepun telah mengembalikan semula tahta kepada Tengku Kelana Jaya Putera atau Tengku Musa Eddin serta menyingkirkan Sultan Hishamuddin Alam Shah sebagai Sultan Selangor. Tengku Musa Eddin menggunakan gelaran Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah dan menjadi Sultan Selangor seperti sireh pulang keganggangnya tetapi hanya dalam waktu yang singkat kerana setelah Jepun menyerah kalah kepada pihak bersekutu pada tahun 1945 dan Inggeris masuk semula ke Tanah Melayu dan baginda disingkirkan sebagai Sultan Selangor oleh Lord Louis Mountbatten dan mengembalikan semula Tahta kepada Sultan Hishamuddin Alam Shah.  Tengku Musa Eddin telah dibuang negeri ke Kepulauan Cocos Keeling.  Sebelum beberapa bulan kemangkatan baginda, baginda telah dibawa pulang semula ke Selangor dan kemudiannya mangkat pada 1955 dalam usia 62 tahun dan dimakamkan di Makam Diraja Selangor di Klang sebaris dengan Sultan-Sultan Selangor lainnya. Tengku Musa Eddin berkahwin dengan Syarifah Mastura Syed Shahabuddin dan tidak dikurniakan sebarang cahayamata.  Rasanya memang baginda tidak mahukan zuriat kerana tidak mahu berlaku sebarang rebutan kuasa terhadap tahta negeri Selangor Darul Ehsan dikemudian hari.  Jika benar, memang mulia dan ikhlas keperibadian  Tengku Musa Eddin yang walaupun haknya telah dinafikan oleh penjajah tetapi baginda tidak pernah merebut tahta yang sepatutnya menjadi hak milik mutlak baginda.


Makam dihadapan sekali yang bewarna putih ini adalah Makam Almarhum Sultan Musa Ghiathuddin Riayat Shah manakala dihadapan makam baginda adalah Makam Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah.  Gambar ini Syah ambil sewaktu ziarah ke Makam Diraja Selangor beberapa tahun lepas.

Al-Fatihah ........... Kepada Almarhum Sultan Musa Ghiathuddin Riayat Shah ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah, Semuga Roh Baginda di Tempatkan Bersama-Sama Orang-Orang Yang Beriman dan Beramal Solleh.....Amin.

Sumber :- Koleksi Diraja Maharum Bugis Syah / Wikipedia / The Royal Families of SEA

Allahyarham Dato' Seri Diraja Dr Syed Mahmood Jamalullail

$
0
0
13.01.2012, Ahad - Ini adalah Allahyarham Dato' Seri Diraja Dr Syed Mahmood Ibni Syed Hussain Jamalillail.  Tahukah anda siapakah Allahyarham ini?  Jika anda orang Perlis tentu masih ada yang mengenalinya lagi terutamanya golongan warga emas.  Allahyarham merupakan Kerabat Diraja Perlis dan Ayahanda Saudara kepada Raja Negeri Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.  Allahyarham Dr Syed Mahmood merupakan bekas Pemangku Raja Perlis selama dua tahun bermula 1960 ketika kekanda Allahyarham iaitu Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia III. Ketika itu Raja Muda Perlis (Tuanku Syed Sirajuddin) sedang melanjutkan pelajaran ke United Kingdom.  

Syed Mahmood diputerakan pada 21 September 1921 di  Arau Perlis. Mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu di Arau sebelum menyambung pelajaran ke Pulau Pinang di Government English School, Hutching School dan Penang Free School.  Beliau telah berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan OSCE pada tahun 1939 dan kemudiannya memohon memasuki University of Cambridge dalam jurusan undang-undang tetapi terpaksa membatalkan niatnya apabila permohonan untuk mendapatkan biasiswa ditolak. Walau bagaimanapun, Syed Mahmood berjaya mendapat tawaran belajar dalam bidang perubatan dan berlepas ke Hong Kong pada tahun yang sama. Ayahanda Syed Mahmood memberikan sokongan penuh dan semangat kepada beliau untuk meneruskan pelajaran dalam bidang kedoktoran dan menghantar beliau ke Stesyen Keratapi Arau untuk ke Hong Kong. 

Syed Mahmood amat terkenal dan disukai ramai sewaktu menuntut di Hong Kong dan seorang yang aktif dalam sukan serta mewakali universitinya dalam permainan kriket. Apabila tercetusnya perang dunia kedua dan Hong Kong telah ditawan Jepun pada 1941, Syed Mahmood telah dijadikan sebagai tawanan perang dan dipenjarakan bersama tahanan-tahanan india untuk memudahkan beliau mendapatkan makanan halal sebagai seorang Islam di kem tahanan Ma Tau Chung. Beliau kemudiannya dibebaskan dengan Parole (pembebasan dengan bersyarat dan dipantau oleh pihak tentera) kerana keringat beliau sebagai pelajar perubatan diperlukan oleh Jepun terutamanya untuk menangani masalah kesihatan ketika itu bersama-sama pasukan perubatan. Beliau juga pernah bertugas di Star Ferry sebagai Inspektor. Beliau boleh berbahasa Kantonis dan mempunyai hubungan yang erat dengan masyarakat di Hong Kong.
Potrait Allahyarham Syed Hassan Ibni Syed Mahmud Jamalullail, Ayahanda kepada Allahyarham Dato' Seri' Diraja Dr. Syed  Mahmood yang juga merupakan nenda kepada Raja Negeri Perlis sekarang DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Selepas perang tamat pada tahun 1945, beliau telah diberi peluang untuk menyambung pelajarannya dalam bidang perubatan di University of Oxford.  Disebabkan beliau sudah enam tahun tidak balik  ke Arau dan bertemu dengan keluarganya, beliau memohon untuk kembali ke Arau dahulu sebelum melanjutkan semula pelajaran dan telah dibenarkan berbuat demikian.  Sesampainya beliau di Arau pada September 1945, beliau mendapat tahu Ayahanda yang menjadi sumber inspirasinya selama ini telah mangkat.  Keadaan ini menyebabkan belaiu bersedih dan merasakan bonda serta keluarganya memerlukan kehadiran beliau untuk membantu mereka.  Beliau telah membatalkan hasrat menyambung pelajaran ke Oxford dan menyambung pelajaran di Universiti Malaya di Singapura yang lebih dekat dengan Perlis berbanding England. Akhirnya beliau memperolehi MBBS pada tahun 1951 dan bergelar Doktor.

Apabila kembali ke Perlis, beliau menjadi Pegawai Perubatan.  Beliau berpindah ke Kuala Lumpur pada 1967 untuk membuka kelinik sendiri yang diberi nama Kelinik Dr Syed Mahmood dan Ruby Majeed di bangunan MARA, Jalan Tuanku Abdul Rahman.  Beliau pernah diberikan tanggung jawab oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail untuk mengetuai  delegasi perubatan pertama Malaysia ke Cina pada 1972 yang ketika itu Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan kerajaan Cina.   Beliau banyak memberi sumbangan tenaga dan idea kepada Universiti Malaya dan berkhidmat sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Hospital Universiti yang sekarang dikenali sebagai  Pusat Perubatan Universiti Malaya.  Beliau juga bergiat cergas dalam badan-badan profesional  dan dilantik sebagai Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (Malaysia Medical Association) pada 1988 dan Presiden College of General Practitioners (1978-1980). 

Syed Mahmood mendirikan rumahtangga dengan Dr Ruby bte Abdul Majeed pada tahun 1956 dan dikurniakan dengan sepasang cahayamata dan lima orang cucunda. Syed Mahmood  mangkat pada jam 16:15hhrs, 30.11.2011 kerana sakit tua dalam usia 93 tahun di Pantai Medical Center, Kuala Lumpur. Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke Perlis dan disolatkan di Masjid Negeri sebelum dimakamkan di Makam Diraja Lama Arau jam 09:30hrs 01.12.2011.  Turut menziarahi jenazah dan istiadat permakaman  Allahyarham adalah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Almarhum Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Industri Perlis, Dato' Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail, Setiausaha Kerajaan Perlis, Dato' Azizan Hamid serta  Ketua Polis Perlis, SAC Zull Aznam Haron.

Al-Fatihah ............... Semuga Roh Allahyarham Dato' Seri Diraja Syed Mahmood bin Syed Hussain Jamalullail ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin.

Sumber :- The Early Malay Doctors / MyMetro / Pertabalan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail
Viewing all 965 articles
Browse latest View live