Quantcast
Channel: Maharum Bugis Syah (MBS)
Viewing all 965 articles
Browse latest View live

Sultan Brunei Berangkat Ke Kem Latihan Projek Rintis Ketiga PKBN

$
0
0

Kelihatan Tuanku Sultan Brunei berkenan mencuba salah satu peralatan yang digunakan semasa Latihan Projek Rintis Ketiga Program Khidmat Bakti Negara.

07 Mac 2013, Khamis :-

Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan  berangkat ke Kem Latihan Projek Rintis Ketiga Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di  Berakas.  Keberangkatan tiba Tuanku Sultan dan rombongan disambut oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, YB Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah.
Majlis dimulakan dengan Hormat Diraja dan diikuti dengan nyanyian lagu 'Allah Peliharakan Sultan' iaitu lagu kebangsaan Negara Brunei.  Tuanku Sultan kemudiannya memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan para Perintis Ketiga PKBN yang terdiri daripada 129 orang pelatih lelaki dan 70 orang pelatih perempuan. Upacara diteruskan dengan beberapa persembahan daripada para pelatih seperti Sorak PKBN, nyanyian lagu 'Sedia Berbakti', Persembahan Kawad, Persembahan Seni Mempertahankan Diri dan Persembahan Latihan Jasmani. Sebelum berangkat meninggalkan padang kawad, doa selamat dibacakan oleh Ketua Guru Ugama PKBN, Awang Haji Abdul Afiq bin Zainudin, disusuli dengan tabik hormat diraja dan diikuti dengan lagu kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan'.
Baginda kemudian berkenan berangkat melawat  Arena Paintball untuk menyaksikan secara dekat aktiviti yang dijalankan sebelum menyaksikan pameran PKBN yang berkisar mengenai sejarah Projek Rintis PKBN dan tayangan video.  Tuanku Sultan kemudiannya berangkat  melawat asrama lelaki dan perempuan sambil menyaksikan persembahan dan bengkel-bengkel keusahawanan, keagamaan, MIB, kebudayaan di samping menyaksikan aktiviti keagamaan di surau perempuan dan juga bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh agensi-agensi yang terlibat.
Tuanku Sultan juga telah berkenan menyaksikan latihan merempuh halangan yang dipersembahkan oleh para pelatih. Tuanku Sultan juga telah berkenan menghadiri Majlis Santapan Tengahari (makan tengahari) bersama para Pelatih Rintis Ketiga PKBN, para jemputan dan para pegawai serta kakitangan yang menjayakan program berkenaan. Baginda juga telah menandatangani Buku Lembaran Kenangan Projek Rintis Ketiga PKBN sebelum sesi ramah mesra bersama para pelatih.  Sebelum berangkat meninggalkan majlis Tuanku Sultan telah berkenan bergambar bersama-sama para pelatih sebagai kenang-kenangan.

Sumber :- Pelitabrunei


Buku Daulat Dijunjung Kasih Disanjung

$
0
0

07 Mac 2013, Khamis :-

Shukur Alhamdulillah hari nie Syah dapat buku "Daulat Dijunjung Kasih Disanjung" sempena 5 tahun pemerintahan Tuanku Mizan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertua Agong ke-13. Bertambahlah koleksi peribadi Syah untuk Maharum Bugis Syah Mini Royal Library di Rawang Residence.  Ucapan jutaan terima Kasih  kepada Jabatan Penerangan Malaysia diatas pemberian buku "Special Edition" ini.

Tidak Dapat Update Blog

$
0
0
08 Mac 2013, Jumaat :-

Salam dan Selamat pagi kepada semua para pembaca setia tengkusyah.blogspot.com. Maaf untuk hari ini dan Sabtu Syah tak dapat hendak update blog kerana Ayahanda dan Bonda Syah datang ke Kuala Lumpur dan Syah akan habiskan masa bersama mereka dirumah adinda Syah.  Insyallah kita bertemu lagi pada hari Ahad, walau bagaimanapun jika terdapat sedikit ruang dan masa Syah akan update blog.

Terima Kasih.

Sultan Brunei Berangkat Ke Washington D.C.

$
0
0


10 Mac 2013, Ahad -

Malam Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam telah berangkat  ke Washington D.C. untuk lawatan rasmi negara. Turut serta berangkat adalah DYTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Duli Pengiran  Muda 'Abdul Wakeel dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

Doa Selamat telah dibacakan oleh Mufti Kerajaan, YB Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned Sebelum rombongan diraja berangkat keluar dari Istana Nuru Iman menuju ke Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba.Turut mengucapkan selamat jalan kepada baginda Sultan dan Raja  Isteri adalah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, kerabt diraja, YAM Pengiran-pengiran Cheteria, Speaker Majlis Mesyuarat Negara, Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat,Timbalan-timbalan Menteri, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei dan Melinda Pavek, Kuasausaha Sementara Kedutaan Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam.

Sumber:-Pelita Brunei

Senarai Terkini Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman

$
0
0
Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah :- Dari kiri sekali Tunku Annuar, Tunku Sallehuddin, Tunku Abdul Hamid Thani dan Tunku Intan.

11 Mac 2013, Isnin :-

Syah hendak kemaskini dan maklumkan kepada anda gelaran-gelaran, ejaan dan susunan  gelaran-gelaran yang sepatutnya digunakan untuk Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman mengikut protokol Negeri Kedah supaya tidak terdapat kekeliruan kepada kita semua. Sebagai contohnya Tunku Anuar dan Tunku Intan telah mendapat gelaran Tan Sri dan ada diantara kita masih ada yang tidak tahu mengenai perkara ini. Ahli-Ahli Pemangku Sultan Kedah Darul Aman adalah seperti berikut :-

Yang Teramat Mulia
Dato' Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah, DKH., DMK., SPMK.,  SSDK., PSM., PSB.,
Tunku Bendahara Kedah Darul Aman
Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman
'Selindang Jerai"

Yang Teramat Mulia
Tunku Tan Sri Dato' Seri Diraja Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah, SHMS., SSDK., PSM.,PAT.,BCK., KPK.,
Tunku Temenggong Kedah
Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman

Yang Teramat Mulia
Dato' Seri Diraja Tunku Abdul Hamid Thani ibni Almarhum Sultan Badlishah, SHMS., SSDK., DSDK.,
Tunku Laksamana Kedah
Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman

Yang Teramat Mulia
Tunku Panglima Besar
Dato' Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz binti Tuanku Haji Abdul Halim Mu'adzam Shah, DKH.,DKYR., SHMS., SSDK., PSM., PAT., JP., Hon.Ph.D (UUM)., Hon.PhD(KUIN)
Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman

Sumber : Pejabat KDYMM Sultan Kedah

Sultan Brunei dan Rombongan Diraja Selamat Tiba Ke Washington D.C.

$
0
0
11 Mac 2013, Isnin :-

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam telah selamat sampai ke Washington D.C. semalam untuk lawatan rasmi negara selama empat hari.  Keberangkatan tiba KDYMM Paduka Seri Baginda berdua dan rombongan diraja di Lapangan Terbang Andrews Air Force Base disambut oleh Caprica Marshall, Ketua Protokol, US Department of State ; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II, YB Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng ; Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri,YB Pehin Datu Singamantari Kolonel (B) Dato Seri (Dr.) Awang Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar.

KDYMM Paduka Seri Baginda berdua dan rombongan kemudiannya berangkat ke tempat penginapan  di Willard International Hotel.   Keberangkatan tiba KDYMM Paduka Seri Baginda berdua dan rombongan diraja disambut oleh Pengurus Hotel Willard International, James Ryan, Setiausaha-Setiausaha Tetap di JPM dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan serta pegawai-pegawai kakitangan Pejabat Kedutaan Negara Brunei Darussalam ke Washington D.C. Amerika Syarikat.

Hubungan antara Amerika dan Brunei  bermula semanjak tahun 1800 lagi apabila kedua negara menandatangani Perjanjian Persahabatan Perniagaan dan Navigasi dimana ianya kekal hingga sekarang.  Selepas Brunei mencapai kemerdekaan dari British pada 1984, Amerika telah membuka kedutaannya di Brunei manakala Negara Brunie pula telah membuka Kedutaannya di Washington D.C. ekoran termetrinya hubungan diplomatik diantara Brunei - Amerika Syarikat pada 10 Mac 1984. Semenjak itu hubungan dual hala Brunei dan Amerika Syarikat terus dipertingkatkan melalui pertukaran tetap jawatan dan kerjasama dalam bidang pertahanan, pendidikan, perdagangan dan tenaga.

Sumber : Pelitabrunei / Jabatan Penerangan Brunei

Princess Lilian, Duchess of Halland Meninggal Dunia Dalam Usia 97 Tahun

$
0
0
11 Mac 2013, Isnin :- 

Semalam Her Royal Highness Princess Lilian, Duchess of Halland telah meninggal dunia dalam usia 97 tahun di Stockholm, Sweden. Beliau menjadi terkenal kerana kisah percintaannya dengan suaminya Mendiang Prince Bertil, Duke of Halland. Princess Lilian dilahirkan sebagai Lillian May Davies di Swansea, South Wales, Britain pada tahun 30 Ogos 1915 dan anak pasangan William John Davies dan Gladys Mary Curran. Beliau merupakan seorang model. Beliau telah mengugurkan satu huruf L dalam ejaan namanya daripada Lillian kepada Lilian apabila menjadi model.

Princess Lillian bertemu dengan Prince Bertil di London pada 1943 dalam satu majlis sempena meraikan hari ulangtahun beliau yang ke 28.  Semenjak daripada pertemuan itu mereka telah saling jatuh cinta walaupun pada masa itu beliau sudah bersuami.  Beliau kemudian menceraikan suaminya,  Walter Ivan Craig yang merupakan seorang pelakun berbangsa Scottish pada tahun 1945.

Pada tahun 1947 kekanda kepada Prince Bertil, Prince Gustaff Adolf, Duke of Vasterbotten yang merupakan pewaris kedua tahta Sweden telah meninggal dunia. Disebabkan anakanda kepada Prince Gustaf  Adolf, Prince Carl Gustaf masih kecil dan berumur satu tahun maka Prince Bertil dilantik sebagai Pewaris Tahta kedua sehingga Prince Carl Gustaf cukup umur. Jika Raja Sweden meninggal dunia maka Prince Carl Gustaff akan menjadi Raja yang baru dan disebabkan beliau masih dibawah umur kemungkinan untuk Prince Bertil akan menjadi Pemanku Raja Sweden. Disebabkan perkara inilah beliau tidak dapat mengahwini kekasihnya yang merupakan "Orang Kebanyakan" bukan dari kerabat diraja.  Jika mereka berkahwinan juga maka perkahwinan ini tidak akan direstu oleh King Gustaf VI Adolf dan Parlimen dimana Prince Bertil akan hilang hak sebagai pewaris tahta dan tidak layak menjadi Pemangku Raja. Sehubungan dengan itu, mereka  telah menjalani hubungan secara rahsia selama 30 tahun dan Princess Lilian menetap di sebuah kediaman peribadi Prince Bertil di Sainte-Maxime di Perancis.

Walau bagaimanapun Prince Bertil tidak pernah menjadi Pemangku Raja kerana Ayahandanya telah dipanjangkan umur sehingga Prince Carl Gustaff meningkat dewasa.  Prince Carl Gustaff akhirnya menjadi Raja Sweden menggantikan datuknya dengan gelaran King Carl XVI Gustaf pada tahun 1973. King Carl XVI Gustaf memerintah Sweden hingga sekarang.  Zaman berubah dan King Carl XVI Gustaf sendiri telah berkahwin dengan "Orang Kebanyakan" iaitu Silvia Sommerlath yang kini bergelar Queen Silvia. Baginda telah memperkenankan perkahwinan Ayahanda Saudaranya maka Prince Bertill dan Princess Lilian akhirnya berkahwin secara rasmi pada 07 Disember 1976 di Gereja dalam Istana Drottningholm dihadapan King Carl XVI Gustaf dan Queen Silvia.  Dengan perkahwinani ini, Princess Lilian merupakan sebahagian daripada Kerabat Diraja Sweden. 

Prince Bertil meninggal dunia pada 05 Januari 1997 disisi Princess Lilian dikediaman mereka di Villa Solbacken, Stockholm. Selepas kematian suaminya sehingga tahun 2010, Princess Lilian masih lagi mewakili kerabat diraja menghadiri majlis-majlis rasmi kerajaan.  Beliau juga menjadi penaung kepada beberapa organisasi disamping menjadi ahli kehormat beberapa buah kelab dan persatuan yang diasaskan oleh Prince Bertil. Dari tahun 1976  beliau telah menghadiri majlis penyampaian Hadiah Nobel setiap tahun tanpa gagal sehingga tahun 2005 dan mengakhiri tradisi ini atas alasan faktor usia dan sudah uzur dalam usia 91 tahun. pada tahun 2000,beliau mengeluarkan buku biografi mengenai kehidupannya bersama Prince Bertil.

Pada tahun 2008 Princess Lilian terjatuh di kediamannya dan telah patah bahagian pinggang. Pada bulan Februari 2009 beliau terjatuh sekali lagi dikediamannya. Pada 03 Jun 2010 pihak Istana memaklumkan bahawa Princess Lilian mengidap Alzheimer dan semenjak dari itu beliau tidak lagi kelihatan di khalayak ramai.  Beliau menetap dikediamannya di Villa Solbacken dibawah jagaan tiga orang jururawat. 

Princess Lilian meninggal dunia pada tengahari Ahad,10 Mac 2013 dalam usia 97 tahun dikediaman beliau. Pihak Istana tidak mengeluarkan kenyataan berhubung sebab-sebab kematian Princess Lilian. Semenjak kebelakangan ini tahap kesihatan Princess Lilian  tidak stabil disebabkan sakit tua dan mengidap Alzheimer. Princess Lilian tidak mempunyai cahayamata. 

Sumber :- Wikipedia / Reuters / The Local

Timbalan Sultan Brunei Menerima Mengadap Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam

$
0
0
12.03.2013, Selasa :- 

Pagi tadi Timbalan Sultan Brunei, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah telah berkenan menerima mengadap Dato' Abdullah Sani bin Omar, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam di Qashr Al-Meezan di Kumbang Pasang, Brunei Muara. Dato' Abdullah Sani bin Omar akan menamatkan perkhidmatan beliau sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam.

Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei

Putera Mahkota Abu Dhabi Melawat Malaysia

$
0
0


12 Mac 2013, Selasa :-

Putera Mahkota Abu Dhabi, Jeneral Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan kini berada di Malaysia hari ini untuk lawatan rasmi negara.  Keberangkatan tiba Sheikh Zayed ke Bangunan Perdana Putra, Putrajaya telah disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan diberi sambutan rasmi negara.  Majlis didahulu dengan lagu kebangsaan Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang dimainkan oleh Rejimen Askar Melayu Diraja dan kemudiannya Sheikh Zayed berkenan melakukan pemeriksaan kawalan kehormat keatas Rejimen Askar Melayu Diraja.  Sheikh Zayed yang juga merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Emiriyah Arab Bersatu kemudiannya mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak dan menyaksikan pemeterian beberapa perjanjian antara Malaysia dan UAE.


Sumber:- Bernama

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Ucap Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Ahmad Hurairah Yang Gugur Dalam Operasi Daulat

$
0
0

12 Mac 2013, Selasa :-

Inna Lillahi wa inna ilaihi raji'un ............. Inilah dia Allahyarham Prebet Ahmad Hurairah Ismail yang merupakan Wira Muda Negara kita yang telah gugur dalam Operasi Daulat pagi tadi  dalam pertempuran selama lima jam dengan Pengganas "Tentera Diraja Kesultanan Sulu" di Sungai Nyamuk berhampiran Tanjung Batu, Lahad Datu, Sabah. Allahyarham Ahmad Hurairah berusia 24 tahun dan berasal dari Kampung Bayu Lalang, Pasir Mas, Kelantan dan merupakan anggota Batalion Ke-7 Rejimen Askar Melayu Diraja, Tawau, Sabah.  Jenazah Allahyarham akan diterbangkan ke Kota Baharu, Kelantan jam 04:00hrs pagi esok dan akan disemadikan dikampung halamannya. Gambar kecil diatas pula merupakan bapa kepada Allahyarham , Ismail Hussin (55 tahun) yang menunjukkan SMS terakhir Allahyarham kepada beliau berbunyi:-  "Salam abah, ma doa la orng slmt .....era".

Alfatihah :- 


Takziah Syah ucapkan kepada keluarga Allahyarham Ahmad Hurairah Ismail. Semuga Roh Allahyarham Ahmad Hurairah Ismail ditempatkan bersama-sama orang-orang yang  beriman dan beramal soleh. Amin.

Istana Negara dalam kenyataannya hari ini memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almuta'simu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ahmad Hurairah. Seri Paduka Baginda amat berdukacita atas kehilangan pahlawan  negara itu dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat oleh Allah. Seri Paduka Baginda berharap agar keluarga Allahyarham sentiasa tenang serta tabah menghadapi ujian ini.

Sumber:- Bernama / Azlan Hafiz/ Dunia Lelaki Maskulin 

Sultan Brunei Santap Tengahari Bersama Presiden Barak H. Obama

$
0
0
13 Mac 2013, Rabu :

Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berada di Amerika Syarikat untuk lawatan rasmi negara telah berkenan berangkat ke Majlis Santap Tengahari bersama Presiden Amerika Syarikat, Barack H. Obama.  Majlis diadakan di Oval Office, White House selepas selepas sessi sidang akhbar di Whit House. Dalam titah baginda, Sultan Brunei mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas jalinan persahabatan yang telah lama terjalin diantara kedua negara serta layanan mesra yang diberikan sepanjang lawatan baginda dan rombongan diraja ke USA.  Baginda juga berharap agar kerjasama dialog ASEAN-US akan dapat dipertingkatkan pada masa hadapan. 

Turut serta dalam majlis ini adalah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), YB Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng; Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri (JPM), YB Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia Awang Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar ; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Amerika Syarikat, TYT Dato Paduka Awang Haji Yussof bin Haji Abdul Hamid dan Setiausaha-Setiausaha Tetap di JPM dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Dan Perdagangan ;  Vice President Amerika Syarikat, Joe Biden; Setiausaha Pertahanan, Charles Timothy “Chuck” Hagel dan National Security Advisor, Amerika Syarikat, Thomas Donilon.

Sumber :- Pelitabrunei

Jenazah Dua Wira Negara "Operasi Daulat" Tiba di Kelantan Untuk Disemadikan

$
0
0


13 Mac 2013, Rabu :-

Pagi tadi Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah berbesar hati memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Prebet Ahmad Hurairah Ismail dan Allahyarham Prebet Ahmad Farhah Roslan di Pengkalan Tentera Udara Malaysia di Subang.  Turut serta adalah Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi, Panglima Angkatan Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zlkifli Zainal Abidin dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Jenazah kemudiannya diterbangkan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Cepa, Kelantan  dengan pesawat C-130 dan tiba jam 09:55hrs tadi dan disambut oleh lebih daripada 3,000 orang. Turut menyambut jenazah adalah Menteri Besar Kelantan, Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat ; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin ; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Sejurus tiba, jenazah telah dibawa ke hanger untuk diberikan penghoratan terakhir sebelum dibawa dengan van jenazah ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan.  Allahyarham Ahmad Hurairah dari Kampung Bayu Lalang akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bayu Lalang, Pasir Mas, Kelantan manakala Allahyarham Ahmad Farhah dari Perumahan Desa Darulnaim II pula akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Tumbuh, Kota Baharu, Kelantan.

Allahyarham Prebet Ahmad Hurairah Ismail meninggal dunia dalam pertempuran dengan Penganas "Tentera Diraja Kesultanan Sulu" di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu manakala Allahyarham Prebet Ahmad Farhah Roslan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di KM 37 Lahad Datu-Tungku ketika menghantar makanan untuk angota keselamatan dalam Operasi Daulat di Lahad Datu. Kedua-duanya meninggal dunia semalam 12.03.2013.

Al-Fatihah kepada Allahyarham Prebet Ahmad Hurairah Ismail dan Allahyarham Prebet Ahmad Farhah Roslan  semuga rohnya ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin.

Entry Syah berhubung Pemergian Allahyarham Prebet Ahmad Farhah Roslan. http://tengkusyah.blogspot.com/2013/03/yang-di-pertuan-agong-dan-raja.html

Sumber :- Bernama

Sultan Brunei Mengakhiri Lawatan Rasmi Negara Ke USA

$
0
0
13 Mac 2013, Rabu :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam telah mengakhiri lawatan rasmi negara ke Amerika Syarikat. Keberangkatan pulang KDYMM Paduka Seri Baginda berdua dan rombongan Diraja dari Willard Intercontinental Washington didahului dengan bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Brunei Darussalam, YB Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Juned.  Sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Andrews Air Force Base, KDYMM Seri Paduka Baginda berdua dan rombongan diraja beramah mesra dengan para pegawai dan kakitangan kerajaan Brunei dan keluarga mereka yang berada di Washington D.C. untuk mengucapkan selamat jalan kepada KDYMM Paduka Seri Baginda Berdua dan rombongan diraja.

Manakala ketibaan KDYMM Paduka Seri Baginda berdua dan rombongan diraja ke Lapangan Terbang Andrews Air Force Base disambut oleh Caprica Marshall, Ketua Protokol, US Department of State dan Duta Besar Negara Brunei  Darussalam ke Washington D.C., Dato Paduka Haji Yusof bin Haji Abd Hamid.

Sumber :- Pelitabrunei / Jabatan Penerangan Brunei

Raja Nazrin Hadiri Majlis Konvokesyen ke-18 Peperiksaan Amalan Guaman 2012

$
0
0
13 Mac 2013, Rabu :- 

Hari ini Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen ke-18 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman 2012 yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.  Turut serta mengiringi DYMM Pemangku Raja Perak adalah Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang, Tan Sri Abdul Gani Patail.  Dalam majlis konvokesyen ini juga Raja Nazrin Shah telah berkenan menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan Tun Hamid Omar kepada Ng Kar Kay (perempuan).

Sumber :- Bernama

Lahad Datu Diceroboh Pengganas Tentera Diraja Kesultanan Sulu

$
0
0

14 Mac 2013, Khamis :-

Syah terjumpa gambar ini di internet dan diantara peneranganya adalah sepeti berikut :-   Yang Maha Mulia Diraja Sri Paduka Maulana Al Sultan Mohamet Jamal Al Alam bin Sri Paduka Al Marhum Sultan Mohamet Fathlon, Sultan Sulu dengan rombongan DiRaja kira-kira tahun 1876. Sultan Sulu telah menyerahkan "untuk selamanya dan berkekalan" semua kawasan dari Sungai Pandasan di pantai Utara-Barat ke seluruh pantai Timur sejauh Sungai Sibuco kepada Baron de Overback dan Alfred Dent.

Syah tak berapa pasti mengenai Kesultanan Sulu ini dan tak pernah ambil tahupun.  Keturunan dari Kesultanan yang telah tidak wujud lagi didunia ini telah membuat tuntutan terhadap Sabah dari dahulu lagi dan kemuncaknya Lahad Datu telah diceroboh oleh Penganas dari Selatan Filipina yang mengelarkan diri mereka sebagai "Tentera Diraja Kesultanan Sulu" pada 09 Februari 2013 yang diketuai oleh Azzimuddie Kiram (individu yang menggunakan gelaran Raja Muda) yang merupakan adik kepada Jamalul Kiram III (individu yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu). Insiden ini  telah mengorbankan 10 orang anggota keselamatan negara kita buat masa ini dan sekarang Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia mengadakan Operasi Daulat untuk menumpaskan Penceroboh Durjana dari Selatan Filipina ini. 

Marilah kita bersama-sama berdoa agar pasukan keselamatan negara kita berjaya dalam Operasi Daulat ini dan menumpaskan sepenuhnya penceroboh yang mengelarkan diri mereka sebagai "Tentera Diraja Kesultanan Sulu".

Raja Muda Perlis Rasmikan Laman Ilmu

$
0
0
15 Mac 2013, Jumaat :-

Hari ini Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berkenan merasmikan Laman Ilmu dalam Program Titian Kasih Mega 2013 anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra. Program yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Suleiman, Padang Besar, Perlis.  Turut serta mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra adalah Raja Puan Muda Perlis,Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Dalam majlis ini juga, Tuanku Syed Faizuddin Putra  selaku Yang Dipertua Yayasan Tuanku Syed Putra telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000.00 untuk Dana Pendidikan Negeri Perlis.

Sumber :- Bernama

Tuanku Hajah Haminah Rasmikan Prince of Wales Island International School

$
0
0
16 Mac 2013, Sabtu :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah berkenan merasmikan  Prince of Wales Island International School di Bandar Baru Air Putih, Balik Pulau, Pulau Pinang.  Sekolah persendirian berasarama yang bercirikan nilai-nilai tradisi Inggeris ini telah dirancang penubuhannya semenjak enam tahun lepas oleh pengasasnya, Datuk Dr Kenny Ong yang juga merupakan Pengarah Eksekutif MTT.  Turut serta dalam majlis ini adalah Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas dan Isteri kepada TYT Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majimor bt Shariff.

Sekolah ini mula beroperasi pada September 2011 dengan 16 orang guru dan 48 orang  murid. Sekarang sekolah ini mempunyai seramai 36 orang guru dan lebih 200 pelajar dengan pelbagai kemudahan seperti gimnasium, kolam renang, gelanggang tenis dan auditorium akustik. Sekolah ini mengeluarkan sijil-sijil seperti International Certificate of Secondary Education (IGCSE) dan A Leve luntuk para pelajarnya.

Sumber :- Bernama / BH online

Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Melancarkan Yayasan Azman Hashin dan Menghadiri Ulang Tahun Perkahwinan Ke-50 Tan Sri Azman Dan Tunku Arishah

$
0
0
17 Mac 2013, Ahad :-

Semalam Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus  Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah berkenan mencemar duli menghadiri pelancaran Yayasan Azman Hashim dan ulang tahun perkahwinan ke-50 Pengasas dan Pengerusi Kumpulan AmBank Tan Sri Azman Hashim dan isteri, Tunku Arishah Tunku Maamor.  Turut serta mengiringi Tuanku Muhriz adalah Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri sembilan Tuanku Aishah Rohani bte Almarhum Tengku Besar Mahmud. 

Sempena ulangtahun perkahwinannya, Tan Sri Azman dan isteri telah menyumbang RM1 billion untuk Yayasan Azman Hashim dan Tuanku Muhriz serta Tuanku Aishah telah diberi penghormatan untuk melancarkan secara rasmi  Yayasan Azman Hashim.  Yayasan yang ditubuhkan pada 05 Januari 1991 ini akan mengagihkan dana berkenaan kepada pelbagai program kebajikan dan pembangunan pendidikan di Malaysia. Yayasan Azman Hashim pernah  menyumbang RM42 juta untuk pembangunan pendidikan dibeberapa institusi pengajian tinggi awam diantaranya komplek pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bernilai RM7 juta, membina sebuah bangunan baru bernilai RM25 juta bagi menampung keperluan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya dan RM10 juta untuk membina sebuah bagunan untuk kegiatan sukan di Universiti Sains Malaysia.

Sumber :-Bernama 

Mendiang HRH Princess Lilian Selamat Disemadikan

$
0
0
18 Mac 2013, Isnin :-

Pada Sabtu lepas bersamaan 16 Mac 2013, Mendiang Her Royal Highness Princss Lilian telah selamat disempurnakan dan telah diberi penghormatan negara mengikut adat istiadat diraja Sweden. Keranda mendiang diletakkan di Gereja Diraja di Istana Diraja Stockholm sebelum dikebumikan di Makam Diraja Sweden yang terletak di Haga. Upacara pengekebumian disempurnakan oleh Chaplain of the Royal Court Parish and Bishop Emeritus Lars-Göran Lönnermark, Priest Nicholas Howe daripada the Anglican Episcopal Church of Stockholm  dan Pastor of the Royal Court Parish Michael Bjerkhagen. Selepas upacara pengekebumian selesai, Raja dan Permaisuri Sweden mengadakan jamuan makan tengahari untuk tetamu jemputan khas di Istana Diraja Stockholm. Mendiang HRH Princess Lilian meninggal dunia dalam usia 97 tahun pada 10 Mac 2013.

Entry Syah terdahulu berhubung kematian HRH Princess Lilian :-
http://tengkusyah.blogspot.com/2013/03/princess-lilian-duchess-of-halland.html

Sumber :- Swedish Royal Cort / Hello Daily News / Reuters

Sumbangan Peribadi Sultan Johor Kepada Tabung Kebajikan PDRM Disampaikan Oleh Tunku Laksamana Johor

$
0
0
18 Mac 2013, Isnin :-

Hari ini YAM Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil ibni Sultan Ibrahim telah mewakili Paduka Ayahandanya untuk menyampaikan sumbangan berjumlah RM100,000.00 kepada  Tabung  Kebajikan PDRM. Sumbangan diserahkan kepada Ketua Polis Johor, Dato' Mohd Mokhtar Mohd Sharif dalam satu majlis yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor. Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar telah berbesar hati memberi sumbangan peribadi berjumlah RM100,000.00 untuk Tabung Kebajikan PDRM bagi membantu keluarga wira-wira negara yang terkorban dalam seranggan penganas Sulu dari Selatan Filipina di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Dalam titahnya, Tunku Abdul Jalil menyatakan bahawa ini adalah satu tanggungjawab walaupun sumbangan ini adalah kecil berbanding pengorbanan yang dicurahkan oleh pasukan keselamatan negara dalam mempertahankan kedaulatan negara. Beliau bertitah "Mereka (anggota terkorban) adalah pewira-pewira negara dan mereka juga adalah sahabat saya.  Jestru, adalah menjadi tanggungjawab untuk membantu keluarga mereka semampu yang saya boleh". Tunku Jalil juga mengucapkan takziah kepada anggota keluarga anggota keselamatan negara yang telah tekorban dan meminta agar seluruh rakyat Johor berdoa supaya anggota keselamatan yang sedang bertugas di Sabah mendapat perlindungan daripada Allah S.W.T.

Tunku Abdul Jalil yang juga merupakan seorang Inspektor Polis memaklumkan bahawa beliau akan mengurangkan penglibatannya dalam tugas perkhidmatan sebagai pegawai polis secara aktif disebabkan tuntutan tugas istana dan kerja amal semenjak bergelar Tunku Laksamana Johor pada 22 November 2012. Walau bagaimanapun beliau berjanji akan terus memberikan sokongan padu dalam apa jua bentuk bantuan sekiranya diperlukan oleh Polis Diraja Malaysia terutamanya Unit Tindakan Khas.

Sumber :- Bernama
Viewing all 965 articles
Browse latest View live