20 Januari 2013, Ahad :-
Hari ini merupakan cuti umum di negeri Kedah sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Negeri Kedah Darul Aman yang ke-85 tahun. Walau bagaimanapun tarikh ini merupakan tarikh rasmi Hari Keputeraan Tuanku bukan tarikh lahir sebenar baginda. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhubbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah diputerakan pada 28 November 1927 di Alor Setar, Kedah. Jika ikut tahun sudah 86 tahun tetapi sambutan hari keputeraan tahun ini adalah disebut yang ke-85 tahun. So anda semua jangan kelirulah ya. Tuanku Abdul Halim ini sebenarnya telah kehilangan bonda tersayang ketika berusia lebih kurang enam tahun tiga bulan kerana bonda baginda, Allahyarhamah Tunku Sofiah binti Tunku Mahmud mangkat dalam satu kemalangan jalanraya di Alor Setar, Kedah pada 10.03.1934. Ketika itu Ayahanda baginda, Almarhum Sultan Badlishah bergelar Raja Muda Kedah. Allahyarhamah Tunku Sofiah melahirkan enam orang cahayamata hasil perkongsian hidup Allahyarhamah selama 10 tahun dengan suami tercinta Tunku Badlishah (Sultan Badlishah). Gambar diatas adalah gambar Tuanku Abdul Halim Bersama Adinda baginda, Raja Muda Kedah Darul Aman, Duli Yang Teramat Mulia Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Comel sangat baginda berdua semasa kecil. Gambar ini diambil ketika Allahyarhamah Tunku Sofiah masih hidup lagi.
Hampir tujuh bulan kemudian, Tunku Badlishah (Sultan Badlishah) berkahwin dengan kerabat Diraja Terengganu iaitu Tengku Asma binti Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah pada 31.10.1935. Tengku Asma merupakan adinda kepada Bekas Sultan Terengganu semasa pemerintahan Jepun yang telah digulingkan oleh British iaitu Almarhum Tengku Ali dan Bonda Saudara kepada DYMM Raja Perempuan Perlis, DYMM Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid. DYTM Tunku Haji Abdul Malik merupakan satu-satunya adinda lelaki satu bonda dengan Tuanku Abdul Halim yang masih hidup. Lain-lain adinda lelaki Tuanku Abdul Halim yang dilantik sebagai Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah sekarang ini adalah anakanda kepada Almarhumah Sultanah Asma bukannya Allahyarhamah Tunku Sofiah.
Sumber :- Koleksi Peribadi MBS
Sumber :- Koleksi Peribadi MBS