06 Mei 2013, Isnin :-
Jam 18:00hrs tadi Al-Sultan Kelantan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V telah berkenan menerima mengadap Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Ahmad Yakob untuk istiadat mengangkat sumpah dan menerima watikah perlantikan sebagai Menteri Besar Kelantan di Istana Kubang Kerian, Kota Baharu, Kelantan. Dato' Ahmad yang berusia 63 tahun merupakan anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Pekan menggantikan Dato' Nik Aziz Nik Mat yang telah menyandang jawatan berkenaan selama 23 tahun.
Turut serta mengangkat sumpah dihadapan Tuanku Muhammad V dalam istiadat ini adalah sembilan ADUN yang telah dipilih sebagai anggota Exco kerajaan negeri iaitu Dato' Anuar Tan Abdullah (DUN Kota Lama), Dato' Md Anizam Ab Rahman (DUN Kemahang), Dato' Mohd Nassuruddin Daud (DUN Meranti), Dato' Abdul Fattah Mahmood (DUN Bukit Panau), Dato' Che Abdullah Mat Nawi (DUN Wakaf Baharu), Dato' Mohamed Fadzil Hassan (DUN Temangan), Hanifa Ahmad (DUN Pengkalan Pasir), Dr.Ramli Mamat(DUN Bunut Payong) dan Mumtaz Md Nawi (DUN Demit)
Turut serta menghadiri istiadat ini adalah Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia Tengku Dr. Muhammad Fa-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra ; Mufti Negeri Kelantan, Dato' Shukri Mohamad dan Ketua Polis Kelantan, Dato' Jalaluddin Abdul Rahman.
Sumber :- Bernama