06 Mei 2013, Isnin :-
Hari ini jam 16:07hrs, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia selepas Barisan Nasional kekal berkuasa setelah memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu. Istiadat yang diadakan di Balairong Seri Istana Negara ini turut dihadiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidon, Datin Seri Rosmah Mansor, Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badwi, bonda Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Hajah Rahah Noah dan keluarga serta para pemimpin komponen Barisan Nasional.
Istiadat dimulai dengan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak melafaz angkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan kemudiannya menandatangani Surat Cara Perlantikan dengan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa. Tuanku Abdul Halim telah memberi perkenan selaras dengan Fasal (2) (a) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan supaya Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai Perdana Menteri. Istiadat hari ini agak unik kerana Perdana Menteri mengangkat sumpah dihadapan Yang di-Pertuan Agong yang sama seperti Ayahandanya Tun Abdul Razak Husin ketika mengangkat sumpah dihadapan Tuanku Abdul Halim sebagai Perdana Menteri Malaysia kedua pada tahun 1970.
Sumber :- Bernama