Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah berkenan menghadiri majlis sambutan negara sempena lawatan rasmi Presiden Singapura, Dr. Tony Tan Keng Yam. Presiden Singapura berserta isteri, Mary Chee Bee Kiang dan rombongan akan berada di Malaysia untuk lawatan rasmi negara selama tiga hari bermula semalam. Selepas lagu kebangsaan Malaysia dan Singapura dimainkan, Presiden Singapura telah memeriksa Kawalan Kehormat yang terdiri daripada 107 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai oleh Mejor Mohamad abdullah. Acara kemudiannya disusuli dengan tembakan 21 das meriam. Majlis yang diadakan di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur ini turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Pada sebelah malamnya pula telah diadakan jamuan negara bagi meraikan Presiden Singapura, Dr Tony Tan Keng Yam di Istana Negara Jalan Duta. Dalam titah baginda, baginda yakin hubungan diantara kedua negara akan terus diperkukuhkan pada setiap peringkat, termasuk dikalangan generasi muda disamping menggalakkan sikap saling menghormati dan meningkatkan persefahaman bagi mengeratkan lagi hubungan dimasa akan datang. Titah baginda lagi, selama ini Malaysia dan Singapura saling membantu dan bekerjasama dalam pelbagai aspek demi faedah kedua-dua negara terutamanya dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan.
Tambah baginda lagi, peningkatan kemudahan perhubungan dan akses merentas sempadan antara kedua-dua negara akan merapatkan lagi hubungan antara rakyat Malaysia dan Singapura.
Sumber :- Bernama