05.01.2012, Sabtu - Semalam genaplah 50 tahun Paduka Seri Sultan Yussuf Izzuddin Shah meninggalkan kita semua terutamanya kepada Negeri dan Kerabat Diraja Perak Darul Ridzuan. Almarhum merupakan Sultan Perak ke-32 dan Ayahanda kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. Almarhum mangkat pada pada jam 16:12hrs, 04 Januari 1963 dalam usia 72 tahun akibat serangan stroke yang dialaminya selama hampir 10 minggu. Lebih menyedihkan lagi, Almarhum mangkat 11 hari sebelum sambutan hari keputeraan baginda yang ke-73 tahun. Setelah berada diatas tahta Perak Darul Ridzuan selama 15 tahun, pada 06 Januari 1963 Almarhum dimakamkan di Makam Diraja Al-Ghufran, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dengan penuh adat istiadat diraja Negeri Perak. Selepas kemangkatan baginda, Almarhum dikenali dengan gelaran Marhum Ghafarullah. Almarhum mula diserang stroke pada Oktober 1962 dimana kedua-dua kaki baginda tidak dapat digerakkan dan beberapa hari kemudiannya baginda menjalani pembedahan dibahagian pundi kencing baginda. Sehubungan dengan itu Almarhum menghadkan aktiviti rasmi baginda dan berjalan menggunakan tongkat. Kadangkala Almarhum bersiar-siar dengan kenderaan baginda pada sebelah petang di sekitar Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Almarhum meninggalkan empat orang putera dan seorang puteri iaitu :-
- Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan, Almarhum Raja Ekram
- Almarhum Raja Datuk Seri Baharom
- Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah
- Raja Pok Saidatuliz (Isteri kepada Tengku Seri Wangsa Selangor Tengku Ibrahim ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah.
Almarhum diputerakan pada 15 Januari 1891 di Kuala Kangsar, Perak dan merupakan putera sulung kepada Paduka Seri Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah, Sultan Perak ke-29 yang memerintah dari 1916 hingga 1918. Almarhum pernah berkahwin beberapa kali dan yang kekal hidup bersama Almarhum adalah isteri pertama Almarhum iaitu Raja Perempuan Ta'ayah binti Raja Abdul Hamid manakala isteri-isteri yang lain telah diceraikan termasuklan Yang Teramat Mulia Toh Puan Besar Hatijah binti Dato' Setia Wangsa Ahmad yang merupakan bonda kepada Sultan Perak sekarang, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. Selain daripada itu Almarhum juga pernah berkahwin dengan Tengku Permaisuri Sapura dan bintang filem Norizan. Ada yang menyatakan Norizan minta diceraikan kerana ingin berkahwin dengan seniman negara Allahyarham P Ramlee - Wallahualam.
Almarhum dilantik sebagai Raja Di Hilir pada 29.01.1919 kemudiannya menjadi Raja Bendahara pada 1921 dan Raja Muda pada 15.10.1938. Almarhum menaiki tahta sebagai Sultan Perak pada 29.03.1948 menggantikan Almarhum Paduka Seri Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah. Sepanjang pemerintahan Almarhum, Almarhum telah melawat England sebanyak empat kali sebagai tetamu khas termasuklah menghadiri Istiadat Pertabalan Queen Elizabeth II pada 02 Jun 1953 di Westminster Abbey .
Al-Fatihah kepada Almarhum Paduka Seri Sultan Yussuf Izzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah. Semuga Roh Almarhum ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amin.
Sumber : Koleksi Peribadi MBS/ DYMM Sultan Azlan Shah Biografi Bergambar / Sembangkuala
Sumber : Koleksi Peribadi MBS/ DYMM Sultan Azlan Shah Biografi Bergambar / Sembangkuala